Sunday, September 25, 2022

Semangat patriotik kanak-kanak

Secara Rawak

BETONG: Pendidik Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di setiap tabika dan taska disaran memperbanyakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menyeronokkan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan kanakkanak.

Pegawai Kemas Bahagian Betong Md Asdi Hamdi memberitahu, pendidik masyarakat atau tenaga pengajar di institusi Kemas mempunyai garis panduan berkaitan sambutan Bulan Kebangsaan untuk diterapkan di tabika atau taska masingmasing.

“Justeru, saya sarankan agar mereka memperbanyakkan aktiviti PdP yang menyeronokkan bersesuaian tema seperti garis panduan yang dikeluarkan.

“Ia bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik, seterusnya memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan hiasan bendera,” katanya.

Beliau berkata demikian seusai Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Kemas Bahagian Betong di sini.

Secara keseluruhan, dianggarkan 535 kanak-kanak tabika dan 35 kanak-kanak taska di Bahagian Betong mengikuti pelancaran tersebut secara serentak di 47 institusi masing-masing.

Katanya, sambutan tahun ini bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

“Keluarga Malaysia membawa pengertian semua rakyat di seluruh negara turut bersama kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” ujarnya.

Asdi menzahirkan rasa bangga melihat sambutan baik yang diberikan oleh semua tabika dan taska, apabila masing-masing meraikannya dengan meriah.

“Terima kasih kepada warga Kemas di Bahagian Betong, begitu juga ibu bapa yang turut menyokong aktiviti yang penuh manfaat ini. Kita keluarga Malaysia,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru