Sunday, September 25, 2022

Pilih kursus sesuai kelayakan

Secara Rawak

KUCHING: Pameran pendidikan anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) akan memulakan siri keduanya pada 16 dan 17 September ini di Dewan Komuniti Sibu Jaya, Sibu.

Lebih menarik, pameran pendidikan kali ini turut dianjurkan dengan kerjasama kumpulan rock Iban popular, Masterpiece.

DTTAS dalam kenyataan media yang dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Pameran Malvina Albert Klinsing dan Pegawai Komunikasi Media Nelly Tawai semalam berkata, pameran tersebut merupakan landasan terbaik dalam memberi ruang dan peluang kepada lepasan sekolah di luar bandar.

Katanya, ia bagi memberi pendedahan agar pelajar mendapat maklumat pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.

Melalui program itu ujarnya, lepasan SPM, STPM yang tidak begitu cemerlang dalam akademik berpeluang memilih kursus atau bidang lain terutama kemahiran sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.

“DTTAS dan Masterpiece menyedari perkara ini. Oleh itu, kami bercadang untuk memberi bimbingan dan panduan penting kepada golongan terbabit.

“Kita mahu mereka dilengkapi dengan maklumat tepat dan dapat membantu mereka supaya tidak tersalah pilih laluan kerana jika ia berlaku, maka boleh membawa kepada masalah bagi mereka pada masa depan,” katanya.

Melalui program itu juga, DTTAS dan Masterpiece mahu belia bergerak aktif menggunakan platform disediakan kerajaan agar misi dan matlamat DTTAS melahirkan belia berketerampilan dapat direalisasikan pada tahap paling maksimum.

“Kita mahu golongan belia di luar bandar memiliki pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan pasaran kerja abad ke-21 ini.

“Antaranya kecekapan kognitif termasuk pengetahuan mendalam bidang diceburi, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan dan keupayaan mengekalkan sifat-sifat peribadi berkaitan dengan sesuatu kerjaya,” ujarnya.

Sehubungan itu, dengan memiliki segala kemahiran diperlukan katanya, ia akan memberi implikasi besar.

“Pertama mempunyai keyakinan dan kepercayaan diri tinggi untuk mengimbangkan potensi diri.

Kedua, keselarasan keperluan kemahiran antara majikan dengan siswazah dan ketiga kualiti pendidikan tinggi dapat ditingkatkan.

“Justeru, siswazah harus mempersiap diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan sangat kompetitif.

“Mereka juga harus sedar pencapaian akademik sematamata tidak menjamin mereka mendapat jawatan setaraf dengan kelulusan mereka perolehi,” ujarnya lanjut.

Setakat ini, program anjuran DTTAS turut disertai Yahos School of Skills dan serta Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Institut Kemahiran Mara (IKM), Unit Misi Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Curtin Universiti Malaysia, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran serta agensi lain.

Selepas pameran di Sibu, siri jelajah yang seterusnya adalah di daerah Kanowit.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru