Sunday, September 25, 2022

Kaut RM81,858 tipu lima mangsa

Secara Rawak

SIBU: Seorang lelaki yang dipercayai “scammer” telah didenda sebanyak RM2,500 atau dipenjarakan 35 hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam pada Isnin atas kesalahan memiliki wang secara tidak sah dalam akaun bank peribadinya.

Mahkamah mendapati tertuduh Jaywinder, 28, memiliki wang sebanyak RM81,858 yang diperolehi melalui aktiviti penipuan membabitkan pelaburan pada September hingga Oktober 2021 yang membabitkan lima mangsa.

Tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhannya kerana menipu lima orang mangsa di sini. Rentetan itu, tertuduh yang berasal dari Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur didapati bersalah dalam lima pertuduhannya dibawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.

Setiap pertuduhan yang dibacakan oleh Majistret Punitha Sivaraji, tertuduh dikenakan denda RM500 serta penjara tujuh hari. Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menggunakan skim pelaburan dikenali sebagai Turing Al Asia Ventures yang dimuat naik di Facebook untuk menarik mangsa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mempunyai sebanyak RM81,858 dalam akaun peribadinya yang diperoleh secara tidak sah pada tahun lepas iaitu pada tarikh 5 Julai, 19 September, 29 September, 30 September dan 5 Oktober di pasar Taman Rejang, Persiaran Brooke, Jalan Lim Han Swee, Jalan Nuri dan sebuah hotel di sini.

Mangsa pertama yang ditipunya melibatkan RM35,900, kedua (RM8,600), ketiga (RM8,600), keempat (RM5,000) dan kelima (RM23,758).

Sementara itu, Pegawai Pendakwaraya Inspektor Julkiram Kirah yang mengendalikan kes tersebut memberitahu mahkamah bahawa pengadu (salah seorang mangsa) berusia 32 tahun, telah melayari Facebook dan berminat dengan skim pelaburan tersebut.

Pengadu mengklik pautan yang disediakan (http:apptuningday.com) untuk menyertai pelaburan. Disebabkan percaya pulangan lumayan diberikan, pengadu membuat beberapa pemindahan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Setelah pembayaran dibuat, keuntungan dan modal pelaburan tidak diberikan. Pengadu kemudian membuat laporan polis.

Hasil siasatan, pihak bank telah mengenal pasti tertuduh sebagai pemilik akaun bank. Julkiram memberitahu mahkamah bahawa penyata bank itu juga telah mengesahkan bahawa terdapat enam transaksi yang dibuat oleh salah seorang pengadu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela telah membayar denda tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru