Sunday, September 25, 2022

Empat kedai di pekan Debak dikompaun

Secara Rawak

DEBAK: Empat kedai di pekan Debak dikompaun serta-merta setelah dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Samar di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak memberitahu, salah laku dikesan berkaitan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan).

“Hasil penyamaran dan pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa di 28 premis perniagaan di sini, pihak kami telah mengesan beberapa kesalahan.

“Tiga premis tidak mempamerkan tanda harga, sementara satu lagi gagal meletakkan label merah jambu.

“Keempat-empat premis dikompaun serta-merta, iaitu sebanyak RM300 dan RM100,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Pihaknya jelas Al Redzamani turut menyita beberapa barang antaranya 15 papan telur ayam gred B dan 30 minuman tin pelbagai jenama.

Beliau menegaskan KPDNHEP Cawangan Sri Aman akan terus melakukan pemantauan serta pemeriksaan di semua peringkat bagi mempastikan peniaga sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang salah laku oleh peniaga boleh membuat aduan melalui e-aduan.kpdnhep.gov.my atau menghubungi KPDNHEP Cawangan Sri di talian 083-323836 atau secara WhatsApp aduan pengguna menerusi nombor 019-2794317.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru