Saturday, September 24, 2022

Bersatu hati, bersolidariti bersama Najib

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat, ahli serta pemimpin parti untuk bersolidariti bersama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berdepan cabaran sukar dalam rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Selasa.

Beliau memaklumkan menghormati keputusan mahkamah yang menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya serta tidak mahu dikatakan menghina mahkamah.

“Namun sebagai rakyat, ahli dan pemimpin parti, keputusan tersebut tidak menghalang kami untuk terus bersama perjuangan beliau dalam parti dan kes yang sedang dijalankan. Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa there are three types of truth. Your truth, my truth and the truth. Truth Is God’s Word.,” katanya melalui satu hantaran di Facebooknya

“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak. Jangan putus asa, terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, terlalu banyak jasa serta sumbangan Najib untuk UMNO/BN yang tidak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, beliau berjaya menangkis serangan terhadap UMNO ketika ia diperlekehkan dan cuba ‘dikuburkan’ oleh musuh politik. Melalui media sosial FB beliau berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data berserta fakta.

“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, beliau berkampung dan berkempen membantu kemenangan UMNO/BN. Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan UMNO,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut mengakui bahawa FB Najib sangat berpengaruh serta berjaya memulihkan UMNO lebih cepat.

“Beliau ialah ‘Raja Media Sosial’ dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat sehinggalah mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh UMNO sebelum ini, dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai UMNO pula sekarang.

“Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO/BN akan terus bersama Datuk Seri Najib Razak dan susah senang bersama. Kita bukan ‘kacang lupakan kulit’. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam UMNO,” katanya lagi.

Pada Selasa lima panel hakim yang diketuai oleh Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan pembelaan mewakili Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan salah serta hukuman penjara dan denda berkait dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

 

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru