Sunday, October 2, 2022

Wanita balas dendam iklan di akhbar guna kad kredit lelaki curang

Secara Rawak

SYDNEY: Satu iklan luar biasa di sebuah akhbar di Australia baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Ia gara-gara telatah wanita yang tidak berpuas hati selepas teman lelaki berlaku curang terhadapnya.

Ekoran itu, dia membalas dendam dengan cara memalukannya menggunakan iklan muka penuh di akhbar tempatan.

Foto iklan itu kini tular menyebabkan netizen media sosial heboh memperkatakannya.

Foto iklan itu dikongsi oleh akhbar mingguan, Mackay and Whitsunday Life, di Facebook selepas mereka dihujani pertanyaan iklan tersebut.

“Wahai Steve, saya harap awak bahagia bersama dia. Sekarang, seluruh bandar akan tahu anda penipu yang teruk. Daripada Jenny,” kata iklan itu.

Kata-kata sinisnya bagaimanapun tidak berhenti di situ, pada akhir iklan tersebut, wanita itu mendedahkan dia membayar iklan itu menggunakan kad kredit lelaki tersebut.

“Untuk makluman: Saya membeli iklan ini menggunakan kad kredit anda,” bunyi iklan tersebut.

Apabila akhbar itu diedarkan, ia mencetuskan rasa ingin tahu pembaca yang tidak lama kemudian menghubungi penerbitan itu bagi mendapatkan butiran iklan tersebut.

Akhbar itu, dalam catatan Facebook berkongsi bahawa ia “dibanjiri” dengan mesej berkaitan iklan itu dan memutuskan untuk menjelaskannya.

Pihak penerbit akhbar itu menegaskan mereka tidak tahu siapa “Steve”, yang disebut dalam iklan itu.

“Namun yang pasti, perbuatannya ternyata amat teruk,” tambah mereka.

Penerbitan itu juga memberitahu mereka tidak akan mendedahkan sebarang butiran berkaitan Jenny.

Akhbar itu menambah mereka “belum lagi mengecaj kad kredit berkenaan.”

Yang pasti, iklan halaman penuh itu ternyata menceriakan pagi orang ramai dan menyebabkan sebahagian besar ketawa berdekah-dekah, kecuali Steve.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru