Sunday, September 25, 2022

Tiga rumah musnah

Secara Rawak

SIBU: Tiga buah rumah di Lorong Tiong Hua 13 di sini ranap dalam kebakaran pagi semalam. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.05 pagi.

Susulan itu, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sibu menggerakkan 11 anggotanya serta sebuah jentera FRT dan ERMS yang diketuai oleh komander operasinya PBK II Omar Ali Saifudin Enton ke lokasi kejadian sekitar satu kilometer dari balai.

BBP Sungai Merah turut bertindak sebagai balai bantuan dengan menghantar lapan anggotanya serta sebuah jentera LFRT dan EMRS ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah kediaman jenis struktur tidak kekal.  “Rumah pertama dihuni enam orang dengan berkeluasan 30 x 40 kaki persegi, rumah kedua juga mempunyai enam penghuni (berkeluasan 20 x 30 kaki persegi) dan rumah ke tiga tiada berpenghuni (berkeluasan 20 x 40 kaki persegi).

“Kesemua rumah terbabit musnah 100 peratus,” ujar jurucakapnya. Beliau berkata, pasukan pemadam menggunakan teknik ‘defensive’ dengan melakukan ‘fire brake’ bagi mengawal api dari merebak ke rumah bersebelahan.

“Pasukan pemadam BBP Sibu membentang 1 aliran 600 kaki 2 nozel, manakala BBP Sungai Merah membentang 1 aliran 400 kaki dan 2 nozel.

Kedua-dua menggunakan air dari pili bomba pam dari jentera,” katanya. Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.14 pagi dan kerja-kerja overhaul diteruskan bagi memastikan tiada lagik punca api.

Kebakaran tersebut, katanya lagi, tiada melibatkan sebarang kecederaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan pada jam 9.40 pagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru