Sunday, October 2, 2022

PM mahu penjawat awam pertahan kerajaan daripada fitnah, dakwaan

Secara Rawak

PUTRAJAYA, 16 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal.

Pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, Ismail Sabri berkata penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan mereka bukannya mempertahankan parti politik.

Pada pertemuan itu, Ismail Sabri berkongsi kejayaan dikecapi kerajaan antaranya pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.

“Apabila tuan puan mempertahankan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

“Kerajaan ini adalah kerajaan bersama. Sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysian sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga,” katanya menurut Bernama.

Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata beliau mahu penjawat awam bekerja sebagai satu keluarga dan tidak bekerja dengan budaya silo.

“Saya tak nak isu lama bekerja dalam keadaan silo. Kita mesti bekerja bersama, kita punyai tanggungjawab bersama, kita tak boleh bergerak secara silo lagi tetapi mesti bekerja secara keluarga kerana cara silo sebenarnya akan sebabkan kegagalan kepada sesuatu tindakan atau perancangan,” katanya.

Bagi membolehkan ekonomi negara bertambah baik, Ismail Sabri mahu penjawat awam mengurangkan kerenah birokrasi terhadap pelabur memandangkan ia sering dibangkitkan kumpulan itu semasa beliau mengadakan lawatan ke luar negara.

“Banyak kementerian terlibat dalam perkara yang sama dan akhirnya menyebabkan kelewatan. Bagi pelabur, peniaga, masa adalah sangat penting. Lewat kelulusan akan sebabkan kerugian pada mereka,” katanya kerajaan telah bersetuju mewujudkan unit #MyMudah bagi menangani isu birokrasi.

Unit #MyMudah akan ditubuhkan di semua kementerian dan agensi persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara.

Mengimbau kejayaan kerajaan merintis kerjasama dengan pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Ismail Sabri berkata ia bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada perkara besar seperti kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Malah menerusi MoU itu, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti berjaya diluluskan meskipun ia hangat dibahaskan di Parlimen.

“Dari sudut ekonomi kita telah berjaya, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti juga telah lulus 100 peratus oleh Ahli Dewan dan kita akan memperkenalkan Rang Undang-undang Pendanaan Politik,” katanya.

Mengenai pengasingan kuasa, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Ismail Sabri mengiktiraf kejayaan kerajaan hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua penjawat awam.

“Teruskan kerja baik untuk membantu kerajaan menyelesaikan segala masalah untuk kepentingan rakyat,” katanya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru