Sunday, October 2, 2022

Kerajaan Sarawak rancang bangunkan Usun Apau

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan kawasan Usun Apau di Ulu Baram, Miri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan Usun Apau itu mempunyai air terjun yang serupa dengan Air Terjun Niagara di Kanada.

“Ada satu kawasan bernama Usun Apau yang belum kita bangunkan. Air terjun di sana cantik, sangat bagus, dan sangat sejuk.

“Ini merupakan sebahagian daripada program kita dalam pembangunan jangka panjang sehingga tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Makan Malam Persatuan Hotel Malaysia (MAH) di Hotel Hilton Kuching, 15 Ogos lalu.

Kawasan Usun Apau telah diwartakan sebagai Taman Negara pada September 2005. Ia juga merupakan dataran tinggi gunung berapi yang terletak di hulu sungai Rajang dan Baram, di bahagian selatan Miri.

Manakala, air terjun tertinggi di Sarawak ialah Air Terjun Julan yang terletak di Taman Negara Usun Apau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru