Sunday, October 2, 2022

Derma darah dan organ

Secara Rawak

MIRI: Bulan Sabit Merah Miri (BSMM) giat mempromosikan kempen derma darah dan derma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan kumpulan darah atau organ tertentu.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata sejak sedekad lalu, BSMM telah aktif menjalankan kempen kesedaran bagi membolehkan orang awam mendaftar menderma organ.

“Seramai 291 orang individu telah mendaftar untuk menderma organ sejak tahun 2021 sementara sehingga bulan ini (Ogos), seramai 104 orang telah mendaftar untuk program ini,” katanya.

Kim Shin yang juga Adun Senadin berkata demikian selepas merasmikan Kempen Hari Derma Organ Sedunia 2022 dan Derma Darah di BSMM Cabang Miri semalam.

Menariknya, beliau sendiri telah secara sukarela mendaftar sebagai pengikrar derma organ dan berharap lebih ramai lagi tampil membantu pesakit yang memerlukan organ.

“Kesedaran orang awam untuk menderma organ perlu dipertingkatkan dalam membantu pesakit-pesakit yang memerlukan organ dan darah kumpulan tertentu,” jelasnya.

Sementara itu, sejumlah 82 orang telah menderma darah dalam kempen itu dengan empat daripadanya adalah penderma baharu. Manakala bagi kempen derma organ, BSMM telah mendaftarkan 20 orang individu yang sukarela yang ingin menderma organ.

“Sejak 18 Mac 2020, BSMN Miri telah menjalankan 218 kempen derma darah. Daripada 11,394 yang mendaftar menderma darah, seramai 9, 526 orang telah berjaya menderma darah mereka di pusat ini.

“Manakala sehingga Ogos 2022, sejumlah 2,904 penderma baharu yang mendaftar dengan 2,400 daripadanya telah berjaya menderma darah mereka,” katanya lagi.

Kempen derma darah dan kempen derma organ adalah inisiatif BSMM dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah BSMM Miri Karambir Singh turut hadir dalam majlis berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru