Sunday, October 2, 2022

Contohi Birmingham majukan Sarawak

Secara Rawak

BIRMINGHAM melambai tangan tanda selamat tinggal dan terima kasih kepada atlet-atlet negara Komanwel yang berentap di bandar raya terbesar di United Kingdom (UK). Temasya kali ini merupakan edisi ke-22 Sukan Komanwel dan temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik London pada 2012.

Penganjuran seterusnya akan berlangsung di Victoria, Australia melibatkan lima wilayah iaitu Melbourne, Geelong, Bendigo, Ballarat dan Gippsland pada tahun 2026.

Apa yang menarik mengenai Birmingham sehingga ia mendapat perhatian dunia malah sebutan orang ramai? Malah ia boleh dijadikan rujukan untuk membangunkan negeri ini selaras dengan visi Sarawak maju 2030.

Sebuah pekan kecil, dari abad ke abad ia membangun menjadi bandar metropolitan, dengan Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) USD121.1 bilion pada tahun 2014.

Atas mata kasar, Birmingham dikenali sebagai tuan rumah kepada kejohanan badminton tertua di dunia iaitu All England dan dua kelab seteru Birmingham City dan Aston Villa.  Manakala, individu terkenal berasal dari Birmingham seperti pengasas syarikat coklat Cadbury, John Cadbury, begitu juga bintang Manchester City Jack Grealish, yang membesar di Solihull.

Selain individu ternama, Birmingham juga terkenal dengan sektor pembuatan seperti syarikat BSA (Birmingham Small Arm) yang menghasilkan senjata api dan peluru, besi, peralatan motosikal selain syarikat kereta mewah seperti Range Rover.

Selain sukan dan ekonomi, bandar Birmingham juga mempunyai tarikan budaya tersendiri seperti kumpulan Black Sabbath dan drama siri popular, Peaky Blinders.

Drama yang sohor kini dibintangi pelakon popular dari Ireland, Cillian Murphy merupakan drama ciptaan anak tempatan, Steven Knight.

Bandar Birmingham boleh dikatakan nadi dalam mengerakkan ekonomi negara pada era revolusi industri dan berkembang maju sejajar dengan kemajuan semasa.

Malah bandar itu juga menjadi destinasi keempat yang sering dikunjungi pengunjung asing di UK. Justeru sejarah, kebudayaan mahupun kemakmuran yang dinikmati Birmingham hari ini boleh dijadikan ikutan masyarakat di Sarawak untuk membangunkan negeri ini.

Untung nasib negeri ini bukan diletak pada tangan pemimpin sahaja tetapi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelas apa-apa sekalipun.

Mana-mana bahagian di Sarawak boleh mengembangkan pasaran mereka kepada dunia dan tidak terhadap kepada sektor industri dan pembuatan sahaja.

Ia boleh dipromosikan melalui pelancongan, penghasilan kraf tangan, budaya dan warisan serta pelbagai sektor yang belum diterokai boleh dikomersialkan.

Selain itu, teknologi terkini harus dikuasai dengan pantas agar dapat memberi manfaat kepada warga Sarawak dan negeri ini.

Kejayaan dinikmati bandar Birmingham dibangunkan sendiri oleh anak tempatan, begitu juga dengan Sarawak, ia harus dibangunkan oleh anak Sarawak sendiri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru