Sunday, September 25, 2022

Adun Batu Lintang sedia dikenakan tindakan undang-undang

Secara Rawak

KUCHING:  Adun Batu Lintang See Chee How bersedia dikenakan tindakan undang-undang oleh  Presiden PSB Datuk Seri Dr Wong Soon Koh  susulan tindakannya keluar dari parti itu pada 12 Ogos lalu.

“Saya bersedia sekiranya dikenakan tindakan undang-undang oleh PSB,” tegas bekas pemimpin PSB itu pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mahu mengelak daripada politik parti dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua orang dan sesiapa juga tanpa mengira latar belakang dalam usaha memberi perkhidmatan yang terbaik untuk kawasannya dan juga Sarawak.

“Semua orang mahu menyumbang. Bagi saya semasa tempoh pandemik Covid-19 saya telah melakukan yang terbaik memberi perkhidmatan,” katanya.

Pada Ahad lepas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan, beliau menerima surat daripada Chee How pada 12 Ogos lepas.

Melalui surat itu See memaklumkan meletak jawatan daripada partinya dan menjadi  wakil rakyat  bebas dalam DUN Sarawak.

See mendedahkan beliau sebenarnya sudah lama ingin keluar daripada PSB dan telah menyatakannya dalam mesyuarat paeti pada 8 dan 11 Ogos.

“Mulai sekarang saya akan biarkan kerja saya dan hasilnya bercerita,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12, Chee How mmenewaskan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS), Sih Hua Tong yang mendapat 4,327 undi.

Tiga lagi calon  lain yang bertanding ialah Voon Lee Shan (Parti Bumi Kenyalang), Leong Shaow Tung (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak) dan Cherishe Ng (Parti Keadilan Rakyat).

Dalam PRN-12,  pembangkang Sarawak hanya memenangi enam daripada 82 kerusi, dan dengan tindakan beliau itu, kini PSB mempunyai tiga Adun dan DAP dua Adun.

Chee How telah mewakili  DUN Batu Lintang untuk tiga penggal.  Beliau menyertai PSB bersama-sama Baru Bian selepas dipecat daripada PKR pada 2020.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru