Saturday, September 24, 2022

Susu ibu hadiah paling bernilai

Secara Rawak

SARIKEI: Susu ibu merupakan hadiah terbaik kepada seorang bayi yang baharu lahir kerana mempunyai pelbagai manfaat dan kebaikan.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei Dr. Emmanuel Joseph Fong Tsung berkata, selain pelbagai khasiat, susu ibu juga berfungsi sebagai makanan lengkap untuk bayi baharu lahir malah baik untuk tumbesaran dan pertumbuhan minda mereka.

Pada masa yang sama katanya, susu ibu juga boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan pelbagai penyakit.

“Kita akan terus melaksanakan pelbagai kempen dan program agar lebih ramai ibu muda tahu mengenai kebaikan susu ibu.

“Pada masa yang sama, suami atau pasangan memainkan peranan yang sangat penting, begitu juga ahli keluarga yang lain.

“Namun, mereka ini mungkin kekurangan pengetahuan atau pengalaman dan tetap memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2022, di sini, kelmarin.

Emmanuel berkata, selain kakitangan klinik dan hospital, kumpulan sokongan yang dilatih dengan sumber yang sahih juga dapat memainkan peranan membantu golongan ibu.

Jelasnya lagi, kumpulan sokongan penyusuan susu ibu yang dibentuk di peringkat hospital dan klinik kesihatan bukan hanya dilatih berkaitan ilmu penyusuan tetapi juga individu yang sangat komited dan berdedikasi.

Malah ujarnya, mereka sanggup meluangkan masa, tenaga dan mungkin kewangan sendiri untuk membantu insan lain.

Pada 2020, penyusuan ibu secara eksklusif di bahagian ini berjaya mencapai sebanyak 57.6 peratus,pada 2021 sebanyak 50 peratus dan pada tahun ini sebanyak 39 peratus.

Manakala sasaran ditetapkan pula adalah sebanyak 70 peratus.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru