Sunday, October 2, 2022

Satu lagi tamparan untuk PSB

Secara Rawak

Awang Bolkiah Ali

Ada apa dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB)? Adakah berlaku sesuatu yang tidak menggembirakan dalam parti itu?  Pasti ada yang tidak kena apabila dalam waktu singkat dua orang wakil rakyatnya mengambil keputusan drastik untuk keluar dari parti pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh itu.

Jika anda masih ingat, sebelum PRN-12 Sarawak, PSB dilaporkan mempunyai keyakinan tinggi untuk menumbangkan GPS. Begitu ramai yang terpengaruh hingga ada wakil rakyat yang menyertainya, termasuk Baru Bian, Masir Kujat dan See Chee  How. Adakah ini kes, kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Adi, apabila Adun Batu Lintang See Chee How keluar dari PSB ini sebenarnya merupakan satu tamparan  hebat kepada parti itu.

Keputusan Adun Batu Lintang, See Chee How keluar daripada PSB diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nasar di Kuching semalam. Menurut Asfia, dia menerima surat daripada See pada Jumaat lalu yang menyatakan dia bukan lagi ahli PSB.

Bagaimanapun tiada sebab dan alasan diberikan. Tentu ini mencetuskan lebih banyak persoalan dan teka-teki. Tetapi tidak sukar diduga bahawa apabila seseorang wakil rakyat mengambil keputusan berbuat demikian, tentu atas faktor tertentu.  Adakah perkara ini akan didedahkan oleh beliau dalam sidang media pada minggu ini?

See ialah Adun Batu Lintang selama tiga penggal apabila memenangi dua kali pilihan raya atas tiket PKR, manakala kemenangan ketiga bersama PSB.   DLM PRN lalu, See hanya menang dengan majoriti 93 undi.

Dia dipecat daripada PKR pada April 2020 dan menyertai PSB sebulan kemudian. Harapan yang diletakkan kepada beliau amat tinggi.  Begitu juga harapan beliau terhadap PSB>. Nampaknya harapan itu tidak menjadi kenyataan. Impian tidak menjadi kenyataan. Kekecewaan pula yang melanda.

Pada Mac lalu, ahli parlimen Sri Aman, Masir Kujat juga mengumumkan keluar daripada PSB.   Masir menjelaskan bahawa  keputusan itu dicapai setelah berbincang bersama penyokong di peringkat akar umbi dan antara faktor utama beliau keluar parti adalah disebabkan situasi politik negara yang tidak stabil dan telah menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya langkah terbaik untuk mara ialah mengetepikan politik buat masa ini agar dapat membantu menstabilkan dan membina semula negara tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PSB itu turut menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perdana Menteri kita sedang melakukan segala yang perlu bagi membantu rakyat Malaysia mengharungi tempoh yang sukar ini dan saya perlu memainkan peranan saya dengan menyokong sepenuhnya kepimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tahun 2018, Masir bertanding dan memenangi kerusi Sri Aman atas tiket Parti Rakyat Bersatu (PRS) dan kemudiannya keluar untuk menyertai PSB pada Mac 2019.

Beliau sebelum ini yakin PSB ialah parti terbaik baginya untuk memperjuangkan hak masyarakat Dayak di Sarawak.

Masir memenangi kerusi parlimen semasa menjadi ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menggunakan logo BN pada pilihan raya 2018.

Persoalannya, apakah yang mendorong kedua-dua mereka itu mengambil keputusan nekad?

Presiden PSB, Wong Soon Koh berkata pihaknya berpegang kepada komitmen See yang dinyatakan secara lisan dan bertulis sebelum dia dicalonkan sebagai calon Batu Lintang.

“Ini termasuk aku janji untuk membayar pampasan kepada parti jika beliau memilih untuk meletakkan jawatan selepas memenangi kerusi sebagai calon PSB.

“Ia juga termasuk aku janji untuk melepaskan jawatannya sebagai Adun sekiranya beliau meletakkan jawatan daripada PSB selepas memenangi kerusi itu.

Menurut beliau, See ialah  peguam kanan dan  tahuakan komitmen secara bertulis yang diberi sebelum dia diberi surat watikah untuk mewakili PSB pada pilihan raya Sarawak lalu.

Tidak segalanya cerah. PSB yang begitu yakin dapat menang besar dalam pRN lalu, akhirnya hanya berupaya memenangi empat kerusi daripada 73 kerusi yang ditandinginya. Kini, dengan keluarnya See bermakna hanya tiga orang Adunnya lagi tinggal di DUN Sarawak.

Tindakan See dan Masir itu pasti menghakiskan semangat dan menjejaskan imej PSB.

Tindakan kedua-dua wakil rakyat itu yang sebelum ini begitu yakin akan keupayaan pSB, tentu menghantar mesej negatif kepada ahli PSB dan rakyat pada umumnya.

Ya, ada apa dengan PSB?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru