Sunday, September 25, 2022

Sarawak tidak akan muflis

Secara Rawak

KUCHING: Malaysia perlu terlebih dahulu menangani isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan ketirisan dalam agensi kerajaan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kata Eric Tay Tze Kok.

Pengerusi Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak itu berkata, Malaysia mesti mempercepatkan pelaksanaan reformasi Revolusi Industri 4.0 untuk memodenkan rantaian nilai pengeluaran perindustrian, meningkatkan automasi pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini yang mendakwa RM30 bilion rizab Sarawak akan dihabiskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam tempoh tiga tahun dan menyebabkan negeri ini muflis.

Menurutnya, Guan Eng beranggapan hanya Pakatan Harapan yang mampu menyelamatkan Sarawak.

“Sudah tiga tahun berlalu, namun Sarawak belum muflis. Retorik politik yang memecahbelahkan oleh Lim Guan Eng menunjukkan kekurangan pengetahuannya terhadap ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, apabila sesebuah negara mengisytiharkan muflis, kesannya akan ditanggung rakyat dan menyebabkan tekanan politik ke atas kerajaan tersebut.

“Baru-baru ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan kepada rakyat Malaysia negara tidak akan muflis dan Bank Negara masih mempunyai rizab asing AS$106 bilion (RM472 bilion).

“Dengan ringgit yang masih kukuh, kerajaan telah membayar balik hutang sebanyak RM43.1 bilion tahun ini, yang menyumbang 18.4 peratus daripada jumlah hasil kerajaan.

“Bagaimanapun, risiko politik dan kesinambungan subsidi menyeluruh dan pengagihan geran untuk menggembirakan rakyat akan meletakkan ekonomi kita dalam kedudukan goyah kerana kita terpaksa menambah lebih banyak hutang,” katanya.

Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, sudah pasti rakyat mahu kerajaan stabil dan dapat melaksanakan dasar terbuka, berasaskan merit dan melayan semua kaum secara sama rata.

“Dilema ekonomi Malaysia mesti diselesaikan oleh generasi ini, bukan generasi akan datang” ujarnya.

Bagi mengukuhkan kedudukan Sarawak berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu Perlembagaan Malaysia 1963 (MA63) dan melindungi hak dan kepentingan Sarawak, beliau berharap GPS menang besar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru