Sunday, October 2, 2022

Penduduk kampung Hulu Serian tidak perlu naik bot lagi

Secara Rawak

SERIAN: Penduduk kampung Hulu Serian kini menikmati laluan yang lebih selamat selepas jambatan gantung baharu yang menghubungkan kawasan seberang dibuka kepada orang ramai.

Jambatan sepanjang 60 meter hasil peruntukan kerajaan negeri bernilai kira-kira RM294,285 itu disiapkan dalam tempoh enam bulan.

Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem yang merasmikan pembukaan jambatan itu berkata, kewujudan jambatan menghubungkan hulu ke seberang kampung diharap memudahkan urusan penduduk tempatan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk difahamkan menyeberangi sungai menggunakan perahu atau bot bagi mengusahakan pertanian atau menziarahi tanah perkuburan di seberang kampung.

“Bersyukur kita dapat sama-sama melihat jambatan gantung dibina untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar khasnya warga Kampung Hulu dan Hilir Serian.

“Ini kerana kawasan seberang merupakan kawasan pertanian dan tanah perkuburan, di samping memberi manfaat kepada beberapa penduduk yang mempunyai kediaman di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan jambatan gantung di Kampung Serian Ulu kelmarin.

Richard menambah, kewujudan jambatan itu juga mampu merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk di kawasan tersebut yang kini sedang rancak membangun.

“Kita memang ada membincangkan dan tidak lama lagi kawasan ini akan mempunyai Institut Latihan Perindustrian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sini,” katanya.

Adun Semuja John Ilus turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru