Sunday, September 25, 2022

Pelan pembangunan di Matu dikaji semula

Secara Rawak

MATU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA) untuk menyediakan pelan cadangan untuk membangunkan semula Daerah Matu terutama kawasan Kuala Matu selepas lawatan kerja beliau pada 8 Jun 2022 lalu.

Sehubungan itu, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, merangkap Adun Jemoreng, pelan pembangunan Matu dan Igan akan dikaji semula untuk tempoh ini memandangkan kini projek seperti pembinaan benteng hakisan sedang rancak berjalan dan pembangunan fasa kedua akan menyusul selepas itu.

Tambah beliau, ia termasuk pelaksanaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Kuala Matu.

“Ini adalah rangka dalam memastikan kawasan Kuala Matu menjadi pusat tumpuan pelancong dan persinggahan apabila jalan pesisir siap sepenuhnya.

“Di samping kawasan peranginan yang disediakan di kawasan Kuala Matu, projek pembinaan Masjid Kuala Matu bersama dengan balai cerap zon tengah di Kuala Matu juga sedang berjalan,” katanya dalam lawatan beliau tapak ke Kuala Matu bagi penyediaan Pelan Pembangunan Kuala Matu baru-baru ini.

Jelasnya, cadangan juga telah diajukan untuk memasukkan dalam pelan pembangunan ini beberapa kawasan rumah kedai dan kawasan Skim Pembesaran Kampung (SPK).

“Kita cadang dalam sekitar 200 unit bagi memastikan kawasan Kuala Matu ini berkembang dan menjadi bandar satelit yang baharu di kawasan daerah Matu.

“Ini adalah usaha berterusan pihak Kerajaan Sarawak bagi memastikan kawasan luar bandar turut menikmati pembangunan seperti di kawasan yang lain,” tambahnya.

DATUK JUANDA JAYA bersama Wan Hipni Wan Mohamad sedang menunjukkan pelan pembangunan Kuala
Matu baru-baru ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru