Sunday, October 2, 2022

Nenek hilang 10 Ogos lalu ditemui dalam hutan 

Secara Rawak

KUCHING:  Wanita warga emas berusia 79 tahun yang dilaporkan hilang dalam hutan berhampiran rumahnya sejak 10 Ogos di Batu Pahat, Johor, ditemui selamat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner (ACP) Ismail Dollah berkata, ketika dijumpai, turut bersama-samanya ialah sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.

Wanita itu, Painah Siwan ditemui pada jarak 900 meter dari pos kawalan operasi dan kira-kira 1.4 kilometer (km) dari rumahnya.

Katanya, Painah ditemui dalam keadaan lemah berhampiran lopak air di kawasan kebun di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang, kira-kira 11.25 pagi tadi.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Jelas Ismail lagi, warga emas itu dijumpai oleh dua orang awam yang turut bersama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai oleh 102 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta 20 orang kampung..

Susulan kehilangannya, SAR digerakkan melibatkan 187 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru