Sunday, October 2, 2022

Jenayah terancang: Sekurang-kurang lima maut, 16 cedera di Bogota

Secara Rawak

BOGOTA (Colombia): Sekurang-kurangnya lima orang maut dan 16 lagi cedera selepas sebiji bom meletup di kawasan kejiranan Cristo del Consuelo di bandar pantai Guayaquil, di barat daya Ecuador, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo menyalahkan “jenayah terancang” yang berkait dengan pengedaran dadah, lapor Agensi Anadolu yang dipetik Bernama.

“Penjenayah upahan, yang telah lama menggugat ekonomi dengan dadah, kini menyerang dengan bahan letupan,” kata Carrillo pada sidang akhbar.

Perkhidmatan Risiko dan Kecemasan Kebangsaan negara itu mengesahkan lapan rumah dan dua kenderaan turut musnah akibat letupan itu. Pihak berkuasa berkata jumlah mangsa mungkin meningkat.

Suspek yang tidak dikenali dilaporkan melemparkan bom di tempat kejadian dalam persaingan antara kumpulan penjenayah untuk mengawal akitviti pengedaran dadah di bandar itu.

Menurut laporan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah baru-baru ini, Ecuador mencatatkan rampasan dadah ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan Colombia. Negara Amerika Selatan itu menyumbang 6.5 peratus daripada kokain yang dirampas di seluruh dunia pada 2020.

Kumpulan jenayah terancang saling bersaing untuk mengawal wilayah, lapor pihak berkuasa.

Penjara turut mengalami peningkatan jenayah berkaitan dadah. Kira-kira 400 banduan meninggal dunia di penjara Ecuador sejak beberapa bulan kebelakangan ini akibat keganasan yang berleluasa antara kumpulan penjenayah yang dikaitkan dengan pengedaran dadah, ketika polis sedang berusaha memerangi peningkatan jenayah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru