Sunday, October 2, 2022

Galakkan lepasan SPM terus beĺajar

Secara Rawak

Sejak merdeka, ibu bapa  menyimpan impian tinggi supaya anak-anak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Pada tahun 1970-an berjaya mendapat sijil Senior Cambridge (SC)  sudah lebih daripada memadai. Boleh dikatakan, individu berkenaan hampir pasti mendapat pekerjaan.

Sehingga  awal tahun 1980-an, di kampung saya tidak sampai lima orang lulusan universiti. Saya merupakan orang ketiga berjaya menjejakkan kaki ke universiti selepas lulus dalam peperiksaan HSC atau  setaraf STPM. Kalau anda bertanya kepada saya, inilah peperiksaan yang paling sukar berbanding peperiksaan lain termasuk peperiksaan di universiti. Jumlah atau peratusan yang lulus amat sedikit. Justeru, sesiapa yang lulus HSC  ketika itu  dianggap sebagai pelajar yang hebat.

Berjaya menjejakkan kaki ke universiti, bukan sahaja menjadi impian malah menjadi kebanggan ibu bapa dan keluarga terbabit dan juga seluruh kampung. Maklumlah, bukan banyak orang yang berjaya lulus HSC apatah lagi berjaya memasuki universiti.

Berita saya berjaya diterima belajar di Universiti Sains Malaysia, heboh  di seluruh kampung. Malah, mulai heboh ketika keputusan peperiksaan diketahui ramai. Ketika itu, keputusan peperiksaan biasanya disiarkan dalam akhbar.

Adakah keghairahan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti masih membara dalam kalangan pelajar sekolah? Jabatan Perangkaan dalam kaji selidik  membabitkan 560,000 lepasan SPM baru-baru ini  mendapati hanya 170,000 lepasan SPM menyambung pelajaran, manakala 72.1% atau 390,000 lagi enggan berbuat demikian. Lebih membimbangkan, trend 2019 itu dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Isu ini  sebenarnya semakin ketara selepas negara diancam Covid-19.  Kesan ketara, IPTS  dan institusi kemahiran swasta banyak yang gulung tikar kerana gagal mendapatkan jumlah pelajar SPM yang memadai.

Jangan tuding jari kepada pelajar berkenaan jika mereka mengambil keputusan berbuat demikian. Sebaliknya, kerajaan perlu kaji mengapa trend atau fenomena ini berlaku agar tidak berlarutan pada masa depan.

Adakah mereka menganggap bahawa pendidikan tinggi pun tidak lagi menjamin masa depan? Tidak menjamin mendapat pekerjaan dan pendapatan tinggi. Justeru, buat apa melanjutkan pelajaran.  Fenoeman pengangguran dalam kalangan siswazah yang agak ketara beberapa tahun sebelum itu menjadi punca ada pelajar dan ibu bapa berpendapat, apa gunanya pergi ke universiti.

Ya., bagi mereka ini apa maknanya pergi ke universiti jika akhirnya menjadi penganggur atau mendapat gaji yang hanya setaraf dengan SPM atau STPM? Itu mungkin alasan mereka. Adakah mereka hendak dipersalahkan?

Bukankah lebih baik lagi kalau cari sahaja pekerjaan? Setidak-tidaknya dapat juga pendapatan dan membantu keluarga. Kalau melanjutkan pelajaran, ini akan hanya membebankan keluarga. Juga terpaksa mendapatkan pinjaman PTPTN.  Belum apa-apa lagi, mereka sudah terjerat dengan hutang pinjaman.

Kadar gaji lepasan ijazah yang rendah tidak memungkinkan mereka untuk membayar segala komitmen termasuk hutang belajar berkenaan.  Untuk mereka ini ketika ini, isu perut lebih penting daripada isu pelajaran. Antara sebab utama mereka memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig kerana gaji lumayan dan waktu kerja fleksibel.

Ketika ini ramai yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Selepas negara dilanda wabak Covid-19 dan melalui perintah kawalan pergerakan, banyak ibu bapa yang hilang pekerjaan dan pendapatan. Hal ini memberi kesan besar kepada anak-anak.

Mereka berjuang mahu meneruskan hidup dengan keluarga, inikan pula mahu menanggung anak sambung belajar selepas SPM?  Maksudnya, keadaan ekonomi yang parah turut menyumbang kepada keputusan dan tindakan drastik pelajar SPM itu untuk mencari pekerjaan, dan bukannya melanjutkan pelajaran.

Fenomena ini tidak harus dibiarkan.  Perkara yang berlalu ini sesuatu yang membimbangkan. Semua pihak, terutama guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini.  Para pelajar dan generasi muda perlu diberi kesedaran tentang betapa pentingnya pelajaran. Pelajaran, ilmu, kemahiran dan pengalam penting untuk menjamin masa depan mereka.

Kita tidak boleh membiarkan keadaan sebegini terus berlaku kerana ini akan memberi kesan mendalam kepada masa depan negara. Negara akan kekurangan tenaga kerja profesional dalam tempoh sekitar 20 tahun lagi jika kita tidak tangani gejala ini sekarang.  Adakah kita bersedia untuk mengimport tenaga profesional suatu hari nanti sebagaimana kita mengimport  buruh asing ketika ini?

Hakikatnya, generasi muda perlu terus belajar dan menguasai kemahiran dan pengalaman dalam apa-apa bidang pun.  Dengan adanya generasi yang mempunyai kemahiran yang sesuai dengan keperluan negara, produktiviti akan dapat ditingkatkan.

Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi ini akan mengakibatkan  jurang ekonomi dan sosial akan melebar di negara ini.

Mereka yang tidak berjaya atau tidak berminat melanjutkan ke universiti dapat sahaja memilih untuk menyambung pelajaran di institusi kemahiran. Tidak ada alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran. Sebab, banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang disediakan di negara ini. Pilih sahaja yang sesuai dengan minat, kecenderungan dan cita-cita.

Yang penting sekarang, universiti awam kita perlu menilai semula program dan kurikulum kursus yang ditawarkan supaya sentiasa kemas kini dan relevan dengan tuntutan pasaran. Ibu bapa pula perlu memberi galakan kepada anak-anak lepasan SPM agar menerokai peluang untuk belajar dalam bidang kemahiran lain.

Penulis ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru