Sunday, October 2, 2022

Cara Keluarga Malaysia tunjuk rasa cinta kepada negara

Secara Rawak

SIMANGGANG: Amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih merupakan salah satu cara Keluarga Malaysia menunjukkan rasa cinta kepada negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, seluruh Keluarga Malaysia diseru untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

“Bagaimanapun selain mengibarkan Jalur Gemilang, cara lain untuk membuktikan cinta kepada negara termasuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan sikap toleransi serta mendukung segala inisiatif kerajaan.

“Begitu juga amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih.

“Ini kerana tindakan menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar
boleh mengganggu kesejahteraan Keluarga Malaysia jika tidak dikawal,” katanya.

Adun Simanggang itu berkata demikian semasa Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM2022) Peringkat Daerah Sri Aman di tebingan Sri Aman, hari ini.

Beliau menasihatkan pengguna media sosial agar memanfaatkan teknologi secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan-ucapan murni kepada rakan, majikan dan keluarga sendiri.

“Sematkan di hati dengan semangat patriotik untuk mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia demi negara tercinta,” ujarnya.

Tambah Harden, bersempena Bulan Kebangsaan yang istimewa ini semua pihak juga disaran untuk menunjukkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya mengharapkan seluruh Keluarga Malaysia dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di merata tempat seperti taman perumahan, kediaman, pejabat, sekolah, premis perniagaan dan sebagainya.

“Kerana, suasana sebegini akan menaikkan semangat patriotik dalam diri kita demi meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kebebasan yang dikecapi sejak 31 Ogos 1957,” katanya.

Terdahulu diadakan acara senamrobik bersama kira-kira 150 masyarakat sekitar terdiri daripada Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Bandar Simanggang, Kampung Melayu, Kampung Sabu, Kampung Hulu Lemanak dan Entulang.

Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Suhali Awang, Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Boniface Bajai turut hadir sama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru