Sunday, September 25, 2022

Tiup roh sukan berbasikal

Secara Rawak

SARATOK: Kalaka Criterium Challenge berupaya meniup roh sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus membolehkan Saratok melahirkan jaguh berbasikal yang ulung pada masa hadapan.

Adun Kalaka Mohamad Duri memberitahu, ini juga merupakan peluang mempromosikan sukan berbasikal yang boleh dianggap baharu diketengahkan dengan lebih hebat.

“Saya melihat apabila adanya penglibatan persatuan dan kelab berbasikal dari seluruh Sarawak, dapat meniup semangat anak muda di sini supaya berkecimpung dalam sukan berbasikal dengan lebih hebat.

“Dan, saya yakin tidak mustahil Saratok juga mampu melahirkan jaguh dalam sukan berbasikal seperti tempat lain suatu hari kelak,” katanya kepada Suara Sarawak seusai Kalaka Criterium Challenge edisi sulung di sini, hari ini.

Jelasnya, Kalaka Criterium Challenge akan dijadikan identiti baharu dengan rancangan penganjuran lebih besar pada tahun hadapan.

“Dengan sambutan yang menggalakkan kali ini, Insya-Allah tahun hadapan kita akan anjurkan lagi.

“Kita sudah ada perancangan untuk mengadakannya dalam skala lebih besar di samping pelbagai penambahbaikan terutama menaik taraf jalan sesuai dengan kehendak perlumbaan.

“Apa yang pasti, yang saya dengar daripada mulut peserta mewakili persatuan dan kelab yang berkampung selama dua hari di Saratok, rata-rata mengakui teruja dan ternyata Kalaka Criterium Challenge ada aura tersendiri,” ujarnya.

Untuk penganjuran seterusnya juga, Mohamad dan pasukannya bersedia menerima penyertaan dari negara luar.

Untuk keputusan perlumbaan dalam bandar bagi kategori terbuka lelaki dimenanginya oleh Laurel Lauridsen Adrian mewakili Ghost Speed Racing Team.

Naib juara menjadi milik Aizat Osman (ICC) dan Charles King Diking juga daripada Ghost Speed Racing Team di tempat ketiga.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru