Saturday, September 24, 2022

Tiga projek bermanfaat di Kampung Santubong

Secara Rawak

KUCHING: Peruntukan berjumlah RM780,000 diluluskan untuk pelaksanaan tiga projek awam di Kampung Santubong.

Projek tersebut membabitkan bina baharu titi konkrit bernilai RM450,000, pemasangan lampu jalan (RM80,000) dan perparitan RM250,000.

Berita gembira itu diumumkan Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie iaitu Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Syed Hamzah, Wan Junaidi sudah meluluskan peruntukan untuk pelaksanaan ketiga-tiga projek berkenaan. “Peruntukan ini kita akan serahkan kepada DBKU dan JKR sebagai agensi pelaksana.

“Semoga ketiga-tiga projek ini dapat disiapkan dengan segera dan memberi manfaat kepada penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat Kampung Santubong baru-baru ini.

Semasa lawatan tersebut, Syed Hamzah turut diraikan pada majlis bersama-sama penduduk Kampung Santubong.

Sementara itu, Syed Hamzah turut meluangkan masa bersama-sama pemain petanque yang akan mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Menurutnya, sebahagian daripada pemain yang mewakili Sarawak merupakan anak jati Kampung Santubong. “Kita akan memberi sokongan padu untuk memastikan pasukan ini membawa balik kejayaan,” ujarnya.

Penghulu Santubong Suhaili Kifli turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru