Sunday, September 25, 2022

Perjalanan lebih pantas

Secara Rawak

LUNDU: Pembinaan jalan dan jambatan baharu di sini bakal merancakkan lagi industri pelancongan Sarawak kerana ia akan memendekkan masa perjalanan dari Pontianak, Indonesia ke Kuching.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pelabuhan Aidel Lariwoo berkata, ini kerana adanya pembinaan Jambatan Selampit, Bau dan Jalan Kampung Kendaie/ Selampit Lundu yang menelan kos hampir RM100 juta.

“Jambatan Selampit termasuk jalan sepanjang 2.8 kilometer (km) menelan kos sebanyak RM27.94 juta, manakala pembangunan Jalan Kampung Kendaie/ Selampit bernilai RM72 juta dengan jarak 12 km.

“Kedua-dua projek ini bakal memberi manfaat kepada hampir 2,000 penduduk di sekitarnya serta menjimatkan tempoh perjalanan ke Pekan Bau, Lundu dan Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja pembangunan projek di Lundu, kelmarin.

Jelasnya, projek tersebut dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.

“Kedua-dua projek dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Apabila siap nanti, ia akan menjadi pemangkin sosioekonomi penduduk tempatan serta mewujudkan landasan bagi membina kemudahan asas yang lain seperti bekalan air serta elektrik,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Adun Opar Billy Sujang berkata, projek tersebut juga dapat menjadi pemangkin pembangunan kawasan luar bandar sebagai hab antarabangsa kerana ia merupakan laluan terpendek dari Pontianak ke Kuching.

“Laluan itu hanya mengambil masa enam jam dan ia paling singkat berbanding laluan lain yang ada di Sarawak.

“Justeru, kita mahu pembangunan itu dilaksanakan dengan pantas,” jelasnya.

Beliau berharap pihak JKR mempercepatkan pembinaannya demi manfaat penduduk dan pengguna yang lain kerana sudah sekian lama.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru