Sunday, September 25, 2022

Mangsa scam di Sibu rugi RM20,000 

Secara Rawak

SIBU: Dua lagi kes penipuan scammer berlaku pada Jumaat di sini membabitkan seorang peniaga lelaki dan seorang suri rumah yang masing-masing mengalami kerugian lebih RM10,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, kes pertama melibatkan seorang peniaga yang mengalami kerugian lebih RM10,000 setelah menyedari diri ditipu oleh ‘scammer’ di media sosial yang menyamar sebagai ejen pinjaman wang pada Jumaat.

Jelasnya dalam satu kenyataan, berdasarkan laporan, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM10,000 ke dalam dua akaun bank tempatan menerusi empat transaksi.

“Ia dibuat melalui perbankan dalam talian bagi urusan proses pinjaman, seperti dokumen perbankan, pendaftaran, caj pengurusan dan pembayaran cukai bagi kelulusan segera.

“Mangsa juga dijanjikan pemulangan semula wang setelah mendapat kelulusan pinjaman,” jelasnya.

Selepas membuat pembayaran, mangsa masih diminta oleh suspek untuk membuat pembayaran dengan pelbagai alasan berhubung caj yang perlu dibayar.

Perkara ini kemudiannya menimbulkan kecurigaan mangsa yang telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Bagi kes kedua pula, jelas Zulkipli, ia melibatkan seorang suri rumah yang menanggung kerugian sebanyak RM10,600 setelah menekan pautan sesawang yang diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenali.

Katanya, berdasarkan laporan pada 6 Ogos lalu, pengadu telah menerima satu SMS daripada nombor tidak dikenali yang menyatakan akaun bank milik mangsa berada dalam keadaan tidak normal, dan bagi tujuan baik pulih akaun bank, pengadu perlu menekan pautan sesawang yang diberikan.

“Malah mangsa perlu masuk ke dalam akaun perbankan dalam talian milik mangsa dengan memasukkan ID pengguna serta kata laluan.

“Setelah berjaya masuk ke dalam akaun perbankan dalam talian milik mangsa, mangsa percaya bahawa akaun banknya telah berjaya dibaik-pulih,” jelasnya.

“Namun begitu, pada Jumaat, semasa mangsa menyemak baki wang dalam akaun bank miliknya, didapati berlaku empat transaksi pindahan wang yang berjumlah keseluruhan RM10,600 daripada akaun bank milk pengadu ke akaun bank tempatan yang tidak diketahui,” jelasnya.

Zulkipli menasihati agar masyarakat terus peka dan berwaspada dengan modus operandi scammer yang cuba memperdaya orang ramai, dan membuat keputusan yang rasional sebelum mereka mengambil tindakan supaya nasi tidak menjadi bubur.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu membuat pemeriksaan dengan mana-mana bank atau agensi kewangan berdaftar yang berhampiran untuk mendapatkan kepastian, dan membuat pertanyaan atau semakan terlebih dahulu.

“Dinasihatkan juga agar orang ramai tidak akses masuk ke dalam sesawang yang diberikan dalam SMS daripada pihak tidak dikenali dan hanya menggunakan pautan link rasmi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan akaun bank,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru