Thursday, October 6, 2022

Tokong Beliong bukti perpaduan Sarawak

Secara Rawak

TERLETAK di sebuah pulau yang majoritinya didiami masyarakat Melayu, tokong ini merupakan salah satu keunikan kerukunan hidup bermasyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Inilah Sarawak yang sering memperlihatkan keharmonian sebenar Keluarga Malaysia. Perbezaan agama dan budaya bukan tembok yang memisahkan keakraban masyarakatnya.

Tokong Fuk Teck Kong di Beliong iaitu sekitar satu jam perjalanan dari Kuching merupakan tokong tumpuan masyarakat Cina untuk menunaikan tanggungjawab agama mereka.

Uniknya untuk ke tokong ini, perlu menggunakan bot penambang untuk merentasi Batang Samarahan. Bot tersebut dikendalikan oleh rata-rata masyarakat Melayu setempat.

Menurut Pengerusi Tokong Fuk Teck Kung, Vong Mook Chon, 88, dan merupakan penduduk di sini, pembinaan tokong ini pada 1960-an berpunca daripada beberapa insiden yang meragut nyawa termasuk kanak-kanak mati lemas dan bot tenggelam sehinggakan terdapat juga tanggapan bahawa roh-roh jahat berkeliaran di malam hari sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

Kejadian itu dianggap sebagai tidak baik dan masyarakat Cina di sini berasakan perlu untuk membina sebuah tugu yang dirobohkan dikenali sebagai Tugu ‘Amitabha’.

Pada masa sama, pihak berkenaan juga berpandangan perlu dibina sebuah tokong utama untuk membolehkan masyarakat Cina di sini berdoa kepada Tuhan mereka agar diberikan keamanan dan keselamatan di Kampung Beliong.

Bukan sekadar sebagai lokasi untuk penziarah agama dari luar Asajaya, tokong ini juga begitu menarik untuk dilawati.

Dari segi seni binanya yang menonjolkan ‘Pagoda Panjang Umur’ setinggi 13 tingkat bersama patung ‘Dewa Kekayaan’ dikenali sebagai ‘Sanyang Kaitai’ membawa maksud mempunyai masa depan yang cerah.

Seni bina China

Meneroka sekitar tokong ini, pengunjung akan menemui beberapa seni bina yang menggunakan bahan binaan yang ditempah khas dari China malah seni lukisan juga menggunakan khidmat pelukis dari negara itu.

Menurut Vong, tokong ini bukan sahaja indah dari segi seni rekaan namun mengandungi pelbagai panduan kehidupan bersandarkan ajaran Konfusianisme.

Di Koridor ‘Filiah Picty’ terdapat 24 set gambar dan cerita bertujuan menyampaikan mesej pengajaran Confucius bagi penganut mematuhinya agar memperoleh kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan.

“Namun di sebalik mesej dan tujuan keagamaan tersebut, tokong ini juga berperanan sebagai lokasi lawatan yang memberikan ketenangan kepada sesiapa sahajaa.

Tokong ini yang menarik pengunjung luar dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat,” tambahnya.

Tokong ini sering dikunjungi pada hujung minggu namun tumpuan utama adalah ketika masyarakat Cina datang untuk sembahyang pada setiap hari pertama dan hari ke-15 kalendar Cina.

Jumlah pengunjung ramai setiap tahun ketika Tokong Fuk Teck Kong mengadakan pelbagai aktiviti dan perayaan seperti ulang tahun Fuk Teck Kong, Guan Yin, Tahun Baharu Cina dan hari penting yang berkaitan dengan agama Buddha.

Bantu bersih tokong

Ketika itu juga, masyarakat setempat berbilang kaum akan datang membantu membersihkan pekarangan tokong dan pengendali bot berbangsa Melayu akan menambah jumlah bot untuk membawa penumpang serta menyedia dan menjaga tempat letak kereta untuk pengunjung.

“Dengan kadar tambang RM1 untuk seorang, beratus-ratus ringgit boleh dicapai dalam sehari terutama pada hujung minggu.

Ketika ada peristiwa penting di tokong, operasi akan berlanjutan hingga tengah malam.

Ketika ini juga terdapat sekitar 10 bot penambang beroperasi di sini yang dikendalikan oleh masyarakat Melayu di sini,” menurut Haikal, remaja berusia 17 tahun yang membantu bapanya mengendalikan bot penambang.

Melihat situasi itu, kewujudan tokong ini bukan sekadar untuk tujuan keagamaan, malah merupakan lokasi pelancongan luar bandar menarik yang perlu dipertimbangkan semua pihak.

Pelbagai pihak termasuk kerajaan dan agensinya serta beberapa NGO turut memberi pengiktirafan serta bantuan kepada pihak pengurusan tokong untuk tujuan pembinaan dan baikpulih tokong.

Keindahan seni reka dan mercu tertentu yang terdapat di sini boleh dikatakan setanding atau mungkin juga lebih menarik berbanding tokong lain di negeri ini.

Namun hakikatnya tokong Cina di kawasan yang majoritinya masyarakat Melayu dan beragama Islam itu memaparkan keindahan sebenar perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat di Bumi Kenyalang ini, tanpa sebarang isu yang menggugat keharmonian hidup bersama. – Japen

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru