Saturday, September 24, 2022

Tinjau pelaksanaan kerja projek rakyat di Kakus

Secara Rawak

TATAU: Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai telah melakukan lawatan ke beberapa tapak projek rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus pada Khamis.

Lawatan beliau dimulakan ke tapak projek baik pulih Jalan Penyarai bagi melihat sendiri status dan perkembangan kerja baik pulih jalan ini agar dapat memudahkan perjalanan penduduk untuk keluar ke bandar.

Sejurus selesai lawatan itu, Datuk John Sikie telah meninjau Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Penyarai dan turut mengingatkan pihak kontraktor untuk menyiapkan projek mengikut masa yang telah dijadualkan.

Pada pagi Jumaat pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu meneruskan lawatan kerjanya ke Rumah Robert Nuing untuk melihat sendiri keadaan jalan menuju ke rumah panjang berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah memberi peruntukan RM700,000 untuk melaksanakan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2023 iaitu membaik pulih jalan dan turut mengumumkan peruntukan bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) tahun ini sebanyak RM50,000.

Pada sebelah petang, Datuk John Sikie meninjau kerja-kerja pembinaan jalan baru bernilai RM1 juta di Jalan Rumah Taa, Nanga Seda.

Ketika ditemui, beliau memberitahu jalan sepanjang 5.8 kilometer itu kini telah siap 40 peratus dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Saya berharap jalan ini dapat disiapkan sebelum hujung tahun kerana pada hujung tahun musim hujan menyebabkan kerja-kerja agak sukar dilaksanakan,” katanya.

Kemudiannya, beliau melawat ke Rumah Layang, Lubok Ladong untuk melihat sendiri keadaan jalan menuju ke rumah panjang itu.

Selain itu, beliau turut membuat tinjauan bagi cadangan kepada Jabatan kerja Raya (JKR) dan permohonan kepada kerajaan untuk dibina jalan raya lebih kurang 16 kilometer dari Rumah Layang menuju ke Penyarai serta pembinaan sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kakus.

Lawatan Datuk John Sikie diteruskan ke tapak projek SAWAS di kawasan Lubok Kubong Kakus yang akan memberi manfaat kepada penduduk dari Rumah Ado, Rumah Jeffery Kitop, Rumah Kiah dan Rumah Jayan.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah wakil dari JKR Ngu Tie Hwa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru