Saturday, September 24, 2022

Tingkatkan kekerapan khidmat bas  Pontianak-Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menggesa agar pihak syarikat pengangkutan bas dari Pontianak ke Kuching mempertingkatkan operasi mereka.

Perkara itu menjadi perhatiannya selepas hanya sebuah syarikat sahaja yang menawarkan perkhidmatan berkenaan pada ketika ini.

“Saya percaya syarikat-syarikat ini perlu dibuka semula kerana kita sudah kembali seperti biasa.  

“Saya percaya sedikit masa lagi perniagaan ini akan kembali menjana wang yang banyak.

“Saya yakin mereka akan memulakan semula perniagaan bas, perkhidmatan bas, koc serta apa sahaja peluang perniagaan kemudahan yang pernah mereka jalankan sebelum ini, saya pasti,” katanya seperti dilapor TVS.

Abdul Karim memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam perancangan untuk mewujudkan syarikat pengangkutan bas yang akan beroperasi di Pontianak dan Brunei.

Langkah itu diambil untuk merancakkan lagi pelancongan perubatan di negeri ini yang dilihat beransur pulih selepas sempadan negara dibuka.

Beliau ditemui selepas merasmikan pelepasan Ekspedisi Hari Guru Kelab Sukan Rekreasi Bermotosikal Guru Sarawak di sini pada hari ini.

Pada majlis tersebut, Abdul Karim turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000 untuk membantu kelancaran ekspedisi tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru