Sunday, September 25, 2022

Strategi tiga W untuk menang PRU-15

Secara Rawak

KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perlu ada dalam tiga ‘W’ dalam diri setiap jentera bagi memastikan kemenangan parti di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ujar Timbalan Presiden UMNO itu, tiga ‘W’ tersebut adalah ‘winning mentality’, ‘winning strategy’ dan ‘winning move’.

“’Winning mentality’ iaitu sikap untuk menang, persediaan untuk menang itu penting. ‘Winning strategy’ iaitu strategi untuk menang, semangat mesti bersama strategi kerana tanpa strategi hanya membuang peluru. Zaman Rasulullah S.A.W pun ada strategi.

“’Winning move’ iaitu apa cara kita nak kita laksanakan untuk mengurus strategi yang telah pun kita letak. Mengadakan strategi sahaja tanpa mengadakan langkah pelaksanaan juga tidak memadai. Cantik di atas kertas, papan kenyataan tetapi tidak diurus atau dilaksanakan juga tidak boleh.

“Peperangan menang kerana strategi. Kita masuk pilihan raya ini ‘berperang’. Kalau masuk berperang tentukan kita menang. Jangan masuk perang tapi kita tidak bersedia dan kita kalah. Jangan sesekali kita menempuh peperangan dan kita tahu bahawa kita akan kalah,” kata Pengarah Pilihan Raya BN itu.

Mohamad berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Perjumpaan Bersama Kepimpinan UMNO, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Ketua Jalinan Rakyat (JR) PDM dan Jentera BN Negeri Kelantan di Dewan UMNO Negeri Kelantan, di sini pada Sabtu seperti dilapor Umno Online.

Tambahnya lagi, gerak kerja di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) merupakan benteng dan akan menentukan menang atau kalah parti.

“PDM menentukan kita menang atau kalah kerana di situlah peperangan yang sebenar. Jadi pengurus-pengurus PDM dan kawasan pilihan raya memainkan peranan yang amat besar.

“Ada beberapa perkara terutamanya pengundi baharu yang begitu ramai didaftarkan secara automatik… bagaimana cara untuk kita dapat mengkaji sikap mereka ini yang baru pertama kali mengundi.

“Semua perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk membantu kaji sikap pengundi-pengundi terutama pengundi baharu, ini bukan perkara mudah,” katanya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru