Sunday, September 25, 2022

Pelabur asing semakin yakin melabur di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg  berkata, pelabur asing  semakin yakin untuk melabur di  negeri ini apabila jumlah pelaburan menjangkau RM60 bilion.

Menurut Premier Sarawak peningkatan pelaburan itu adalah disebabkan dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan  Sarawak dalam usahanya menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sarawak, jelas beliau menyasarkan pertumbuhan ekonomi sekitar enam ke lapan peratus bagi merealisasikan impian berkenaan.

“Kita perlukan pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6 ke 8 peratus pada masa akan datang,” ujarnya 

“Sebab itu GPS menekankan pembangunan jangka panjang dengan menambah nilai sumber yang ada di Sarawak dan juga mewujudkan hala tuju supaya Sarawak maju berpendapatan tinggi,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa generasi supaya terus meningkatkan kepakaran dan kemahiran agar dapat  menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

“Ia juga secara tidak langsung memastikan rakyat di negeri ini dapat menikmati segala kemudahan moden bagi mewujudkan sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru