Sunday, September 25, 2022

Lapor terus aktiviti salah guna dadah

Secara Rawak

SERIAN: Lapor terus kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku dalam masyarakat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, dalam usaha membanteras isu berkaitan dadah ia tidak terletak pada bahu pihak berkuasa sahaja malah memerlukan pengelibatan semua pihak.

Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah agar dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kita selalu mendengar pepatah jangan jaga tepi kain orang. Dalam usaha memerangi dadah ini kita terpaksa menjaga tepi kain orang, tepi kain saudara mara kita dan tepi kain jiran-jiran kita untuk membanteras dan memerangi habis-habisan dadah ini.

“Kita jangan lalai dan leka. Kita lalai dari sekarang, takut hendak melapor. Kita takut kesannya seperti pandemik yang amat menggerunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Daerah Serian, di Dewan Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Serian, di sini hari ini.

Jelasnya, akibat dadah, ia boleh meruntuhkan institusi keluarga dan individu kehilangan pekerjaan.

Tambahnya, dadah ini juga menyumbang kepada masalah sosial yang lain seperti jenayah semata-mata untuk mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah.

“Ada sehingga sanggup mencederakan, sehingga boleh mendatangkan kematian ahli keluarga terdekat.

“Kita tidak mahu generasi kita, pelapis pada masa akan datang ini hancur akibat kesan dadah,” tegasnya.

Jelasnya, pihak polis sentiasa melakukan operasi pembanterasan dadah menerusi Op Tapis dan telah menangkap seramai 5,491 orang yang terlibat dalam penyalah gunaan dadah sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

Manakala di Bahagian Serian, katanya, seramai 170 orang telah ditangkap dalam tempoh yang sama.

Jelasnya, jumlah tersebut akan bertambah sekiranya tidak dibanteras secara serius dan kerjasama erat dari masyarakat.

Justeru, beliau menyeru masyarakat untuk menyalurkan terus maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

Turut serta pada sesi town hall, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Iskandar Turkee dan Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatrik Unimas Dr Ting Chuong Hok Bernard.

Program turut dihadiri pegawai kanan polis, Residen Bahagian Serian Selamat Jati Yanjah, Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru