Thursday, October 6, 2022

Kerajaan berazam terus pacu pembangunan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Sudah menjadi hasrat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pembangunan kawasan bandar dan luar bandar negeri ini mengikut peredaran zaman bagi memperkukuhkan kedudukan Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, disebabkan itu kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menekankan pembangunan jangka panjang dengan menambah nilai kepada sumber-sumber di negeri ini.

“Selain itu, ia juga untuk mewujudkan hala tuju supaya Sarawak juga membangun sebagai sebuah negeri maju yang berpendapatan tinggi.

“Inilah hasrat kita bersama, seperti mana yang saya sebutkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – kalau Sarawak maju, Malaysia juga maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, dekat sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, dengan adanya kestabilan politik di peringkat Sarawak beliau yakin barisan pemimpin yang sedia ada akan menumpukan perhatian kepada kaedah pembangunan yang selaras dengan peredaran zaman.

“Ini termasuk menggunakan kaedah-kaedah digital termasuk pendekatan yang akan memberikan pulangan kepada negara kita lebih-lebih lagi Sarawak,” ujarnya.

Mengenai program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 ia turut menyaksikan Abang Johari menyempurnakan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) yang akan merentasi 33 daerah di seluruh negeri ini.

RAKAMAN KENANGAN… rakaman kenangan sekitar program pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, dekat sini, hari ini. (F: UKAS)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru