Monday, December 5, 2022

Kajian cari punca miskin

Secara Rawak

KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan bekerjasama dengan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) membuat kajian kemiskinan di kawasan pedalaman Samarahan.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata, kajian ini berkemungkinan besar akan dibuat di beberapa kampung terpilih mulai tahun depan.

“Tumpuan utama kajian ini adalah untuk mengetahui sebabsebab asas mengapa kemiskinan di kawasan kampung masih wujud dan berterusan serta melihat jalan penyelesaian.

“MPKS dan Unimas akan menganalisis dan mengambil tahu sama ada ekonomi, budaya, kekurangan kemudahan asas, kekurangan peluang atau sikap asas orang miskin adalah punca bagi permasalahan ini,” katanya.

Beliau juga mengimbas kembali isu kemiskinan luar bandar dan penemuan yang dibuat oleh pakar ekonomi seperti Profesor Ungku Aziz semasa beliau belajar di Universiti Malaya (UM) pada akhir 1960-an.

“Isu ini sangat menarik dan relevan kerana kemiskinan masih berlarutan sehingga hari ini dalam kalangan masyarakat luar bandar kita.

“Namun begitu, sudah pasti terdapat kemiskinan bandar kerana hampir 50 peratus penduduk berada di kawasan bandar dan separa bandar kerana berlaku migrasi luar bandar ke bandar iaitu penduduk luar bandar datang ke bandar untuk mencari pekerjaan dan pendapatan,” tambah beliau lagi.

MPKS katanya, akan bertemu semula dengan Unimas untuk mengusahakan perincian cadangan kajian.

“Kemungkinan besar kajian fizikal dan penyelidikan akan bermula pada awal tahun nanti setelah butiran kajian disusun.

Pada program itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Unimas kerana mengambil inisiatif dan berusaha untuk bekerjasama dengan pihak perbandaran dalam kajian kemiskinan luar bandar ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru