Sunday, October 2, 2022

Pelajar luar bandar fasih berbahasa Inggeris

Secara Rawak

KUCHING: Guru dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam melahirkan murid yang fasih berbahasa Inggeris di kawasan bandar dan luar bandar.

Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat (Meitd) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pihaknya juga berusaha untuk memenuhi keperluan masyarakat tanpa melihat lokasi termasuk dari segi penganjuran program berteraskan pendidikan.

“Anda jangan terkejut, sesetengah sekolah di luar bandar muridnya juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

“Ini sebenarnya usaha guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam usaha tersebut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Dwi Bahasa Sarawak (DLP) 2022 (Guru Tahun Tiga) di Hotel Grand Continental dekat sini, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan penyertaan guru dalam program seperti DLP juga boleh melatih penguasaan bahasa Inggeris dengan lebih baik untuk mengajar di sekolah.

“Guru kita terdiri dari kawasan bandar dan luar bandar jadi kami (MEITD) cuba memenuhi keperluan mereka tanpa mengira lokasi dama ada di bandar dan luar bandar untuk mengatasi jurang itu.

“Seperti yang saya katakan tadi guru memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak kita fasih dalam bahasa Inggeris dan pada masa yang sama boleh menguasai bidang bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dengan lebih baik,” ujarnya.

Mengenai program tersebut, Sagah memaklumkan DLP Sarawak telah diperkenalkan sejak 2019 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Meitd telah mengetuai program tersebut dengan meletakkan sasaran di semua sekolah kebangsaan di negeri ini akan diberi pendedahan serta latihan.

Sejak 2019, guru mata pelajaran Matematik dan Sains Tahun 1 dan 2 telah diberi pendedahan DLP.

Tahun ini, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang telah diamanahkan untuk melaksanakan program latihan DLP bagi meningkatkan kemahiran guru Tahun 3, dengan bantuan dari IPG Kampus Rajang dan IPG Sarawak.

Kursus DLP Sarawak dijalankan di enam zon iaitu Kuching, Sri Aman, Mukah, Sibu, Bintulu dan Limbang. Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis; setiausaha tetap Meitd Datuk Kameri Affandi; Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak (Sektor Pembelajaran) Dr Les Met dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (ITEC) Dr Lambat Lindong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru