Sunday, October 2, 2022

Hati-hati tawaran gaji RM10,000

Secara Rawak

SIBU: Lepasan sekolah yang ingin memasuki alam pekerjaan dinasihatkan supaya mencari pekerjaan di platform yang boleh dipercayai.

Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek berkata, ini bagi mengelakkan mereka ditipu serta terpedaya dengan tawaran tertentu.

Menurutnya, ramai kalangan remaja di negara ini terjerat dengan tawaran lumayan yang akhirnya menjadi mangsa tipu.

“Sebagai contohnya, tawaran bekerja di Kemboja dengan gaji RM5,000 hingga ke RM10,000 sebulan.

Adakah ini logik untuk lepasan sekolah yang tiada berpengalaman.

“Ramai yang beranggapan negara Kemboja ini adalah negara pembayar gaji yang tinggi,” katanya ketika ditemui media di sini, kelmarin.

Terdahulu, Chieng telah menyerahkan cek projek kecil luar bandar (MRP) kepada 21 badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dun Bukit Assek.

Beliau dalam pada itu menasihatkan lepasan sekolah supaya tidak mencari pekerjaan di laman sosial bagi mengelakkan daripada terjerat.

Menurutnya, adalah lebih baik golongan tersebut pergi ke agensi yang relevan dan diperakui kerajaan kerana ia adalah sumber yang boleh dipercayai.

Susulan Global Anti Scam Organisation (GASO) yang ingin menghentikan operasi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja pada 31 Ogos ini, Chieng berkata, beliau tidak setuju dengan keputusan tersebut malah menyeru pihak kerajaan supaya membuat rundingan semula.

Menurut beliau, GASO adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Amerika Syarikat merupakan sebuah badan yang menjalankan kerja-kerja penyelamatan mangsa yang ditipu dalam sindiket pekerjaan khususnya di Kemboja.

“Saya harap kerajaan dapat berunding semula dengan GASO.

Jika tiada GASO, agak susah untuk kita membawa balik rakyat kita sekiranya menjadi mangsa tipu pekerjaan.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu menasihatkan golongan muda kita supaya berhati-hati mencari pekerjaan,” tegas Chieng.

Chieng juga turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka dalam aspek mencari kerja.

Sementara itu, bercakap mengenai cek MRP yang diserahkannya kepada 21 NGO berkenaan, beliau mengingatkan mereka supaya sentiasa menggunakan dana dengan sebaik mungkin.

“Kita sudah berada dalam fasa endemik Covid-19 ini, saya harap NGO berkenaan dapat menganjurkan lebih banyak lagi aktiviti.

“Jangan simpan dana itu dalam akaun sahaja. Dalam masa yang sama, jika anda mempunyai banyak aktiviti maka NGO anda adalah aktif,” jelas beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru