Sunday, October 2, 2022

12 ahli lembaga pengarah pelawat dilantik

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 12 Ahli Lembaga Pelawat (ALP) telah menerima watikah lantikan dalam majlis yang berlangsung di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, majlis itu merupakan lantikan bagi sesi 1 Disember 2021 hingga 30 November tahun 2024.

Justeru, beliau menegaskan agar tugas dan tanggungjawab tambahan dalam menggalas tugas sebagai Ahli Lembaga Pelawat dapat dijalankan sebaik mungkin dalam membantu menyuntik aspek kemenjadian kanak-kanak di institusi tersebut.

“Kita tidak mahu mendengar ahli baharu rumah Kanak-Kanak ini dikatakan seperti harapkan pagar, pagar makan padi, yang mana kita tidak mahu ada berlakunya pecah amanah, kerana ini adalah amanah besar dipertanggungjawabkan kepada kita.

“Semoga dengan lantikan ini juga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching dapat dilestarikan dengan lebih baik bagi penggal kali ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Watikah Penyampaian Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, hari ini.

Lembaga Pelawat merupakan sebuah pasukan yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengikut Seksyen 82 Akta Kanak-Kanak 2001.

Fatimah menambah, diharapkan lantikan itu dapat membantu memperkembangkan kemenjadian kanak-kanak institusi di samping membantu kemenjadian mereka untuk masa depan yang lebih menyerlah.

“Jangan lupa asal usul anak-anak ini, ia sedikit sebanyak memberi kesan dalam memberi jagaan terhadap mereka bukan sahaja kepada fizikal namun secara emosi dan pemakanan seimbang kepada mereka,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru