Monday, December 5, 2022

Opar bakal bandar pintar

Secara Rawak

LUNDU: Adun Opar Billy Sujang berhasrat untuk menjadikan pekan baharu Opar sebagai bandar pintar di Sarawak.

Menurutnya, kerajaan kini sedang mencari tapak sesuai bagi mewujudkan Pekan Opar yang bakal dilengkapi dengan pelbagai prasarana.

Beberapa cadangan tapak telah diusulkan kepada pihak berkaitan sebelum ini, namun katanya, cadangan tersebut tidak diluluskan kerana tidak sesuai untuk mendirikan pekan baharu di tapak berkenaan.

“Justeru, kami berharap dengan adanya tapak baharu yang kita kenal pasti kelak, kami dapat mewujudkan pekan baharu di Opar selain menjadikan ia sebagai sebuah bandar pintar.

Manakala lokasinya perlu dibina tidak jauh dari Pekan Lundu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran MRP 2022 dan Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 Dun Opar di Dewan Masyarakat Lundu, semalam.

Sementara itu menurut Billy, pembangunan pekan tersebut adalah keutamaan dan sering disebut oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut merancang untuk menjadikan kawasan Biawak sebagai salah satu hab antarabangsa utama di Sarawak.

“Saya telah berbincang dengan pengarah Imigresen agar menambah baik imigresen kita selain berbincang bagaimana Biawak dapat dijadikan sebagai hub antarabangsa. Pertamanya kami akan mewujudkan klinik di sini.

“Kami akan mengadakan mesyuarat minggu ini berkaitan Klinik Kesihatan Biawak dan saya telah berbincang dengan Timbalan Menteri Kesihatan Kedua bahawa ia perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru