Saturday, September 24, 2022

Tiada lagi penderitaan dihadapi sendirian

Secara Rawak

KUCHING: Akibat penularan wabak pandemik Covid-19, terdapat sebilangan keluarga yang dihimpit kesusahan kerana hilangnya tempat untuk bergantung susulan pemergian ibu bapa atau penjaga.

Atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau telah mengilhamkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) untuk memastikan tiada lagi anak-anak keluarga Malaysia perlu melalui penderitaan secara bersendirian. YKM merupakan sebuah institusi bukan keuntungan untuk membantu anak-anak dalam aspek kebajikan dan pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun akibat kehilangan ibu, bapa atau penjaga atau kedua-duanya disebabkan pandemik, kemalangan atau bencana.

Justeru, Suara Sarawak menemu bual berapa penerima sumbangan bagi berkongsi tentang bantuan yang telah disalurkan. Mohamad Ian Shaheed Abdullah Boliah, 9, merupakan anak tunggal dalam keluarga. Atas desakan hidup, ibunya terpaksa menyerahkan Ian kepada saudaranya untuk memastikan anaknya mendapat jagaan yang lebih baik.

“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang polis. Selain mengubah nasib keluarga, saya juga mahu membantu negara daripada jenayah. “Justeru, sumbangan yang diagihkan sudah tentu akan digunakan untuk perbelanjaan harian yang diperlukan. Selebihnya, akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk tujuan sekolah,” katanya.

Evan Sim Yong Ching, 13, turut berkongsi nasib yang menimpa dirinya. Evan dan abangnya telah kehilangan seorang bapa disebabkan virus Covid-19. Oleh itu, mereka dijaga oleh ibunya yang kini bekerja sebagai penjaga budak-budak. Evan turut berkongsi rasa syukur terhadap bantuan yang disumbangkan kepada keluarga mereka.

Katanya, bantuan tersebut akan digunakan untuk keperluan harian serta kelengkapan untuk bersekolah.  “Sasaran saya sekarang adalah untuk berusaha dalam pelajaran agar dapat menjadi seorang yang lebih baik dan berjaya demi masa depan,” katanya ringkas.

Sementara, Zarith Zazarina Muiim, 15, turut meluahkan bahawa kehilangan seorang ayah bukanlah sesuatu yang mudah, kerana hilang tempat untuk bergantung. Ujarnya, keluarganya kini hanya bergantung kepada perniagaan ibu iaitu menjual kuih-muih untuk menyara kehidupan seharian.

“Ada hari, kami terpaksa menahan kelaparan. Justeru, saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh Perdana Menteri.  “Saya akan gunakan sebaik mungkin sumbangan yang diagihkan ini, khususnya untuk pelajaran. Saya juga mahu meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) sama seperti kakak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru