Sunday, September 25, 2022

Muzium Budaya Borneo masih dapat sambutan

Secara Rawak

KUCHING: Muzium Budaya Borneo masih mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai meskipun bayaran kemasukan dikenakan sejak 1 Ogos 2022.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia dibuktikan dengan kedatangan lebih 700 pengunjung pada hari pertama pembayaran dilaksanakan.

“Hari pertama iaitu pada 1 Ogos mencatatkan lebih 700 pengunjung manakala jumlah itu meningkat dua kali ganda pada hujung minggu (6 dan 7 Ogos), kira-kira 1,500 pengunjung setiap hari.

“Secara purata kutipan dari 1 Ogos hingga hari ini (8 Ogos) mencatatkan kira-kira RM10,000 sehari.

“Kita tidak menjangkakannya dan ia satu petanda yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pra perasmian Restoran Muzium Budaya Borneo di sini, malam tadi.

Sementara itu, Muzium Budaya Borneo merekodkan kemasukan sebanyak 386,753 pengunjung setakat 8 Ogos sejak pembukaannya pada Mac lalu.

Berhubung pembukaan Restoran Muzium Budaya Borneo, Abdul Karim berkata pembukaan itu secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan pengunjung ke muzium tersebut.

Malah katanya, pembukaan restoran mewah yang menawarkan masakan fusion Sarawak itu juga merupakan tambahan terbaru kepada ikonik Muzium Budaya Borneo di sini.

“Sebelum ini, ramai pengunjung yang berkunjung ke muzium tertanya-tanya di mana kantin dan restoran, justeru pembukaan restoran ini akan melengkapkan kafeteria sedia ada yang terletak bersebelahan.

“Kafeteria ataupun kantin di muzium ini akan dibuka mengikut waktu operasi muzium dan saya percaya, dengan adanya restoran ini akan memberi nilai tambah kepada bandaraya Kuching,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nex Vision F&B (BCM) Sdn Bhd dan Restoran Muzium Budaya Borneo, Damien Si berkata, industri makanan dan minuman (F&B) di Sarawak kini terus berkembang.

Katanya, pelbagai jenis dan kreativiti masakan telah dibawa ke pasaran manakala di restoran Muzium Budaya Borneo turut menyajikan masakan barat selain menawarkan masakan fusion Sarawak.

“Kami percaya penglibatan dan pengembangan perniagaan kami dalam industri F&B di Sarawak dapat memajukan sektor pelancongan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Untuk rekod, restoran itu mula dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap Isnin hingga Khamis manakala pada Jumaat, Sabtu, Ahad dan Cuti Umum sehingga jam 10.30 malam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru