Tuesday, September 27, 2022

Kerjasama DAP, PSB buntu!

Secara Rawak

KUCHING: Rundingan DAP Sarawak bersama Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengenai kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU-15) menemui jalan buntu.

Mengulas perkara itu, Pengerusi DAP, Chong Chieng Jen menegaskan, pihaknya tidak dapat menerima permintaan Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh yang disifatkan sebagai tidak munasabah.

Menurutnya, Soon Koh meminta agar calon mereka bertanding atas tiket DAP pada PRU-15 kelak.

Kata Chieng Jen, secara teknikalnya, terpaksa menggugurkan seorang penyandang sekiranya menerima permintaan PSB.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada Alice Law, PSB membuat permintaan untuk bertanding di salah satu kerusi yang disandang DAP.

“Ini bermakna kita terpaksa menggugurkan seorang ahli Parlimen sedia ada, hanya untuk memberikan laluan kepada PSB,” tegasnya.  Bagaimanapun Chieng Jen tidak mendedahkan kerusi Parlimen yang dimahukan oleh PSB.

“Ini adalah situasi semasa setakat ini, anda boleh tanya dan minta penjelasan daripada Soon Koh mengenai perkara ini.

“Jika kita mahu bekerjasama biar ikhlas, penyandang yang telah memenangi kerusi pada pilihan raya hendaklah dikekalkan untuk meneruskan khidmat cemerlang mereka,” katanya.

Tambah Chieng kerjasama kedua-dua parti seharusnya menjurus untuk menambah bilangan kerusi bagi menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sebaliknya.

“Kerana matlamat kita jika bekerjasama, ia sepatutnya meningkatkan jumlah kerusi kita, bukan untuk mengagihkan kerusi sedia ada.

“Kita harus meningkatkan peluang untuk menentang GPS agar tidak membiarkan GPS terlalu selesa untuk menguasai kerusi lain,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru