Sunday, September 25, 2022

Dua projek mega dilulus

Secara Rawak

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan khabar gembira untuk rakyat Sarawak dengan meluluskan dua projek mega untuk dilaksanakan di daerah utara negeri ini.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan sudah menerima permohonan Kementerian Kerja Raya untuk meluluskan projek di bawah Fasa Dua Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).

Projek yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion ini, katanya bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

“Dengan penelitian teknikal yang kini di peringkat akhir, kerajaan komited untuk memulakan pembinaan Fasa Dua Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun depan dengan tempoh pembinaan selama tiga hingga lima tahun.

“Fasa Dua Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam Majlis Perasmian Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap- Jalan Pujut Link (WPC11) yang turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, semalam pada Ahad.

Menjelas lanjut katanya, projek ini turut menghubungkan Daerah Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya.

“Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Negara Brunei Darussalam, menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua buah lorong dua hala.

“Bagi mereka yang tidak mahu melalui Negara Brunei Darussalam boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km,” ujarnya lagi.

Terdahulu pada ucapan alualuan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, beliau berharap bahawa akan ada berita menggembirakan daripada Perdana Menteri berhubung pelaksanaan fasa seterusnya Projek SSLR dan Projek Trans Borneo.

Katanya, berita gembira ini bakal melengkapkan jaringan jalan raya di utara Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru