Sunday, September 25, 2022

Bomba terjah dua ekor ular berkelahi

Secara Rawak

BETONG: Pasukan Charlie Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ‘menerjah’ dua ekor ular yang sedang berkelahi berhampiran simpang Skuyat Lama, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kira-kira 1.07 tengah hari.

“Balai kita yang respons kepada mana-mana aduan awam terus menggerakkan empat anggota diketuai PBK II Koni Jayang.

“Apabila sampai, didapati dua ekor ular sedang berlawan di dalam kolam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jelasnya, ular tersebut adalah jenis katam tebu sepanjang 1.5 meter dan ular tedung sepanjang dua meter.

“Tanpa membuang masa, anggota kita terus menangkap ular terbabit menggunakan dua unit pencerut,” ujarnya menambah, ular yang berjaya ditangkap lima minit kemudian telah dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Terdahulu pada sebelah pagi tambah Vincent, pihaknya diminta menangkap anak ular yang tersesat di premis Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Betong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru