Friday, October 7, 2022

Belum tentu Willie dicalonkan

Secara Rawak

KUCHING: Tiada jaminan kukuh untuk Datuk Willie Mongin dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun sudah diterima masuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Penganalisis Politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berpendapat, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk implikasi sekiranya pimpinan PBB menamakan Willie sebagai calon.

“Jika Willie dicalonkan dan beliau masih popular dalam kalangan pengundi, mungkin itu akan memberikan kelebihan kepada parti.

“Namun, sebaliknya jika berlaku pergeseran dan perasaan tidak puas hati oleh pihak tertentu dalam parti. “Apakah mungkin ini akan memberikan kesan negatif kepada keharmonian parti itu sendiri? Lebih parah jika berlaku pula perpecahan akibat rasa tidak puas hati itu?” soalnya.

Jelas Fadzil, Willie sudah pastinya menaruh harapan besar untuk dicalonkan dan pada masa yang sama calon lain yang mungkin sejak sekian lama turut menaruh harapan untuk bertanding.

“Sudah pasti calon lain akan kecewa dan tidak mustahil berdasarkan sejarah silam dalam politik, jika tidak berjiwa besar ia akan mengundang percakaran dan perang dingin sesama ahli.   “Maka terserah kepada kebijaksanaan pemimpin untuk menentukannya nanti,” katanya lagi.

Natijahnya, Fadzil berkata, ia terpulang dengan kebijaksanaan dan kemampuan kepimpinan parti untuk membuat percaturan terhadap pencalonan Willie.  Sekiranya beliau dipilih, ia adalah antara kunci utama yang akan menentukan sama ada kawasan tersebut boleh menempa kejayaan dan memberikan kelebihan kepada parti atau bakal menemui kegagalan.

Berhubung penerimaan Willie ke dalam PBB pula, beliauberkata, ia tidak begitu menghairankan malah boleh diduga. “Willie yang telah berhijrah daripada beberapa parti  sebelum ini sudah pasti ingin memastikan kelangsungan politik beliau terus subur.

“Willie mungkin sudah lama berusaha untuk menempatkan dirinya dalam kalangan parti pemerintah negeri dan ternyata dengan penerimaan ini, beliau kini boleh menarik nafas lega terutama dalam survival dunia politiknya. “Penerimaan masuk ini sedikit banyak dapat memberikan jaminan buat beliau untuk terus berpolitik dengan lebih yakin dan selesa,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru