Sunday, September 25, 2022

Apa komen penganalisis politik tentang Willie Mongin…

Secara Rawak

KUCHING: Keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerima keahlian Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin adalah satu langkah yang bijak untuk kesinambungan pembangunan, kata penganalisis politik Profesor Dr. Neilson Ilan Mersat.

“Ini akan menguntungkan rakyat. Tiada guna bercakap dan memperjuangkan kebebasan serta hak asasi rakyat sekiranya pembangunan untuk rakyat itu berada di tahap sifar.

“Perjuangan sedemikian ibarat seperti ‘bagai ayam si tombong kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan Willie memilih menyertai PBB adalah tepat kerana ia merupakan parti pemerintah Kerajaan Sarawak.

Namun pada masa sama, katanya ia juga bergantung kepada rakyat, yang akan menentukan kedudukan Willie dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Dalam politik apa sahaja boleh berlaku, sebab itu politik dikatakan sebagai seni serba mungkin,” katanya.

Manakala ditanya adakah keputusan PBB menerima keahlian Willie akan memberi kelangsungan kepada karier politiknya, Neilson menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan sama ada beliau masih relevan atau tidak dalam PRU-15 nanti.

Sementara mengulas sama ada keputusan PBB itu jelas menunjukkan bahawa Willie bakal menjadi calon parti itu di Parlimen Puncak Borneo pada PRU-15 kelak, beliau berkata mungkin terlalu awal untuk membuat ramalan seperti itu.

“Ini kerana di Sarawak, seseorang yang dicalonkan boleh bertukar pada saat-saat akhir…ini kerana ramai yang akan melobi,” katanya.

Semalam, Abang Johari mengesahkan bahawa PBB menerima Willie sebagai ahli tanpa sebarang komitmen.

Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan memperoleh 18,885 undi dan majoriti sebanyak 4,005 undi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru