Sunday, September 25, 2022

Ambil peduli sahsiah pelajar

Secara Rawak

SARIKEI : Program Transformasi Sekolah (TS25) giat dilaksanakan melalui penglibatan aktif semua sekolah di daerah Meradong. Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, komitmen padu itu selaras dengan hasrat untuk menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan program berkenaan.

“Saya lihat sekolah di daerah Meradong banyak berusaha untuk memperluas program ini dalam kalangan komuniti setempat.  Malah, logo TS25 dan hala tuju sekolah boleh dijumpai di sudut yang strategik di sekolah.

“Justeru, kita berharap melalui pelaksanaannya, komuniti setempat mengambil tahu dan prihatin tentang pendidikan masa kini, dan mereka boleh terlibat sama dalam membantu kemenjadian murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Penataran Kepimpinan Instruksional 360 Darjah Siri Kedua di bawah Program TS25 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei dan Meradong.

Jelasnya, aspek pendidikan sentiasa mendapat keutamaan kerajaan kerana kepentingannya dalam mencorak pembangunan negara dalam jangka masa panjang.

Pendidikan sempurna katanya, sangat penting untuk kehidupan yang lebih terjamin, sekali gus keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.

“Sehubungan itu, kesungguhan kita menguasai ilmu pengetahuan berupaya mengangkat martabat diri dan bangsa. Bagaimanapun, kita juga harus sedar tanggungjawab melonjakkan prestasi pelajar bukan hanya terletak pada bahu pihak sekolah sematamata, sebaliknya ibu bapa juga memainkan peranan penting.

“Saya menggesa semua pihak, baik ibu bapa, komuniti, PIBG mahupun guru terus berusaha untuk memastikan sahsiah pelajar sentiasa pada tahap terbaik. Bimbinglah mereka dengan penuh berhemah,” ujarnya.

Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung dan Pengarah IPG Kampus Rajang Dr Abang Ismail Abang Julhi turut hadir

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru