Sunday, September 25, 2022

Peranan belia diiktiraf

Secara Rawak

SARIKEI: Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan besar golongan belia sebagai tunjang kemajuan dan pembangunan negara.

Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua berkata, selaras dengan hasrat itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan peranan golongan itu kekal relevan.

Malah katanya, usaha tersebut turut mengambil kira aspirasi, keperluan dan pandangan golongan berkenaan.

“Hampir 21.4 peratus atau bersamaan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

“Sememangnya angka ini sangat signifikan sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh pada sambutan Hari Belia Negara Peringkat Bahagian di Kompleks Sukan Integrasi Baji Jaya, di sini kelmarin.

Felicia berkata, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi kerajaan merangka hala tuju pada masa hadapan.

Menurutnya, sebanyak 9,766 pertubuhan belia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668 sehingga 30 Jun lalu.

Daripada jumlah itu katanya, hanya terdapat enam pertubuhan yang didaftarkan di Bahagian Sarikei berbanding dengan 80 Pertubuhan Sukan yang didaftarkan di bawah Akta Pembangunan Sukan.

Sehubungan itu katanya, belia Sarikei perlu lebih proaktif menganjurkan program selain melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Covid-19 menjadikan generasi belia sebagai pengguna teknologi dan media sosial yang tinggi sehingga mereka menjalani kehidupan yang tidak aktif.

“Indeks Belia Malaysia 2021 menunjukkan skor kesejahteraan mental dan fizikal belia berada pada tahap sederhana.

Justeru, ia perlu ditangani melalui penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan amalan gaya hidup sihat,” katanya.

Program diserikan dengan pelbagai acara menarik melibatkan pameran pekerjaan, kejohanan sukan merangkumi pemotoran dan perkhemahan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru