Sunday, September 25, 2022

Pameran pendidikan pembakar semangat

Secara Rawak

DEBAK: Penganjuran Debak Education Fair 2022 dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Saribas diharapkan dapat menjadi tonggak permulaan anjakan paradigma dan pencetus revolusi bagi meningkatkan mutu pencapaian belia dalam bidang pilihan masing-masing.

Adun Saribas, Mohd Razi Sitam berkata, penganjuran program seperti itu diharapkan dapat menyuntik semangat generasi muda untuk berusaha dalam mengubah masa depan diri sendiri dengan jayanya.

“Golongan belia terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Debak harus memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin.

“Kerana melalui program seperti ini, mereka akan berinteraksi secara bersemuka dengan wakil institusi yang mengambil bahagian,” katanya.

Tambahnya, objektif lain adalah untuk membantu pelajar dan lepasan sekolah tercicir dan kurang bernasib baik dalam bidang akademik. Mohd Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti juga turut memperuntukkan sumbangan RM 20,000 kepada Dayak Think Tank Association Sarawak (DTTAS).

Teks ucapan Mohd Razi disampaikan oleh Pegawai Tugas Khas beliau, Jasman Tambi seterusnya mewakili beliau merasmikan Program Debak Education Fair 2022 yang berlangsung di Pusat Sukan Riveria di sini kelmarin.

Institusi-Institusi yang terlibat dalam penganjuran Education Fair 2022 ialah Sarawak Skills, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs), Universiti Teknologi Mara (UITM), Kolej Komuniti Betong, Institut Latihan Perindustrian Kota Samarahan (ILPKS) dan Pusat Kemahiran Yahos.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru