Sunday, September 25, 2022

Jawatankuasa baharu hadapi PRU-15

Secara Rawak

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal menubuhkan sebuah jawatankuasa sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan dibantu beberapa pemimpin yang lain.

“PBB sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan bersama rakan-rakan komponen dalam GPS kita akan melengkapkan jentera kita untuk menghadapinya.

“Ini adalah pilihan raya umum pertama kepada GPS kerana sebelum ini, kita bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, kelmarin.

Sementara itu, Premier Sarawak terbabit turut menegaskan GPS akan meletakkan semua calon di 31 kerusi parlimen pada PRU nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut memaklumkan terdapat beberapa Ahli Parlimen yang mewakili PBB tidak akan bertanding semula pada PRU kelak.

“Ada beberapa ahli parlimen PBB yang telah menyampaikan hasrat mereka untuk mengundurkan diri dan memberi laluan kepada calon muda.

“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka kerana ini adalah budaya yang terdapat dalam PBB dengan memberi peluang kepada golongan muda,” ujarnya.

Abang Johari bagaimanapun enggan mengulas lanjut nama dan jumlah Ahli Parlimen PBB yang tidak akan bertanding pada PRU akan datang.

Untuk rekod, PBB mempunyai 13 Ahli Parlimen. Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Datuk Rubiah Wang (Kota Samarahan), Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar) dan Datuk Robert Lawson Chuat (Betong).

Selain itu, PBB juga juga mempunyai Ahli Parlimen di Tanjung Manis diwakili Yusuf Abdul Wahab, Ahmad Johnie Zawawi (Igan), Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah), Datuk Sri Alexander Nanta Linggi (Kapit), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Datuk Hasbi Habibollah (Limbang) dan Datuk Henry Sum Agong (Lawas)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru