Sunday, September 25, 2022

Jasa barisan hadapan perangi Covid-19 hargai

Secara Rawak

SARIKEI: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) menganjurkan majlis jasamu dikenang bagi menghargai sumbangan besar petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan Covid-19 di bahagian ini.

Turut diraikan ketua jabatan yang berpindah tugas ke tempat lain dan bersara selain pelbagai jabatan dan agensi termasuk pihak media.

Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua berkata, program ringkas tapi penuh bermakna itu bertujuan menjalinkan kerjasama selain menghargai jasa dan pengorbanan semua pihak yang terlibat

“Kita juga ingin mengucapkan selamat datang dan bertugas kepada seramai 12 orang ketua jabatan baharu di bahagian ini. Antaranya, Pegawai Daerah Sarikei, Kathreen Lalai, Pegawai Daerah Julai, Wee Teck Min, Pegawai Pertanian Bahagian, Freddy Paul Giang Engie dan Pegawai Veterinar, Dr. Ng Lily,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Felicia berkata, penularan Covid-19 bukan sahaja memberi cabaran kepada petugas barisan hadapan tetapi juga menyimpan kenangan pahit manis terutama mereka yang bertugas ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Malah katanya, norma baharu menjadikan suasana persekitaran ketika itu berbeza berbanding biasa.

“Jika diimbas semula bermula PKP yang pertama, kita bekerja dalam suasana yang baharu, semua kerja dari rumah. Di mana-mana sahaja, pasar, pejabat dan lain-lain sunyi sepi.

Keadaan luar biasa itu mungkin tidak pernah kita bayangkan,” katanya.

Beliau berkata, ketika negara berdepan tempoh yang sukar, kerajaan terpaksa mengambil pelbagai langkah drastik bagi memastikan Covid-19 tidak terus menular.

Selain PKPD katanya, sanitasi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kerajaan turut mengagihkan pelbagai bentuk bantuan demi meringankan beban rakyat.

Ia termasuklah pengagihan bantuan makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

“Pengalaman itu tidak mungkin dapat dilupakan.

Dalam keadaan itu, ada dalam kalangan kita terpaksa turun ke pejabat tanpa mengira masa, siang mahu pun malam.

Kadang-kadang ada yang bertugas pada hari minggu.

“Itulah pengorbanan dan komitmen tinggi semua petugas barisan hadapan.

Malah, ada antaranya sanggup berpanas dan berhujan apabila PKPD di rumah panjang jauh di kawasan pedalaman.

Saya juga yakin pihak hospital, kakitangan pejabat kesihatan juga tidak mengenal lelah,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama yang sedia terjalin antara jabatan kerajaan negeri dan persekutuan diteruskan pada masa akan datang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru