Saturday, October 1, 2022

Sarawak, Kerajaan Persekutuan kukuh kerjasama pertahanan, keselamatan

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengukuhkan kerjasama dengan memfokuskan tiga perkara utama dalam konteks pertahanan serta keselamatan di negeri ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, melalui kementeriannya, matlamat tersebut adalah jelas dan tiada kompromi demi memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negeri ini sentiasa terpelihara.

“Antara perancangan terbaharu, adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan keberadaaan anggota dan aset dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan khususnya di Bintulu.

“Antaranya adalah rancangan membina Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA) 4 secara berfasa menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 demi memastikan usaha memelihara kedaulatan perairan negeri ini dapat dilaksanakan secara lebih holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari di sini pada Sabtu.

Menurutnya lagi, perkara kedua yang difokuskan adalah mengukuhkan pertahanan di sempadan yang ketika ini mengatur gerak anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Sempadan (RS).

“Ini bagi memastikan anggota mencukupi serta sedia dipertingkatkan dari semasa ke masa melibatkan keberadaan dan siap siaga di sempadan Sarawak-Kalimantan serta Sarawak-Brunei termasuk menambah 12 buah Pos Imbangan baharu.

“Ini kerana keselamatan sempadan sememangnya menjadi fokus utama ATM lebih-lebih lagi mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan kelak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya turut dibincangkan adalah mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sedang berada di peringkat akhir perangkaan bagi mewujudkan hub-hub industri pertahanan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru